Lesen Finas: IPI dakwa kerajaan cabul kebebasan media

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan media antarabangsa, International Press Institute (IPI) mendakwa tindakan kerajaan mewajibkan agensi berita memiliki lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk pembikinan filem dokumentari satu pencabulan terhadap kebebasan media.

Pengarah Advokasi IPI, Ravi R Prasad juga mendakwa kerajaan cuba menyukarkan media dengan syarat perlesenan yang dikenakan di bawah Akta 244 Finas dianggap syarat 'luar biasa'.

Menurutnya, IPI turut berpendapat lesen itu tidak diperlukan kerana program isu semasa '101 East' disiarkan stesen media antarabangsa Al Jazeera tidak termasuk dalam bidang kuasa Finas.

"Kerajaan Malaysia berusaha menghalang media bebas dengan menguatkuasakan sekatan sewenang-wenangnya.

"Syarat pelesenan luar biasa yang dikenakan pada penggambaran video untuk liputan berita merupakan pencabulan secara jelas terhadap kebebasan media dan hak untuk mendapatkan maklumat," dakwa pertubuhan IPI yang berpengkalan di Vienna, Austria sebagaimana dilaporkan portal Malaysiakini hari ini.

Khamis lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mencetuskan kegusaran rakyat Malaysia apabila menjelaskan peraturan terbaru kerajaan mewajibkan penerbit filem tradisi dan media sosial memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) melalui Finas di bawah Akta 244.

Bagaimanapun, beliau akhirnya memberi jaminan bahawa akta diguna pakai tidak akan melibatkan pengguna media sosial sama ada melalui platform TikTok, YouTube dan aplikasi lain setelah peraturan baharu itu dikecam warganet.

Saifuddin turut memberi jaminan akan menyokong prinsip kebebasan media dan menegaskan kerajaan akan meminda Akta 244 Finas dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid menegaskan agensi berita swasta yang bukan milik kerajaan akan memerlukan lesen Finas bagi sebarang tujuan pembikinan filem dokumentari.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Zakaria menegaskan agensi berita swasta berkenaan turut memerlukan SPP.

"Dokumentari memerlukan lesen tetapi sidang media dan lain-lain yang dianggap sebagai liputan berita, tidak perlu ada lesen.

"Penggambaran dokumentari berbeza dengan pengambilan liputan berita," katanya.

Zakaria juga menegaskan agensi berita digalakkan memohon lesen Finas yang perlu diperbaharui setiap tahun.