Pemuda UMNO cadang orang muda calon PRK Slim

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mencadangkan pimpinan tertinggi parti meletakkan calon muda untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini sebuah parti yang semakin progresif mendepani lanskap politik negara yang pantas berubah.

Bagaimanapun, jelasnya Pemuda UMNO tetap menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan khususnya Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat pilihan terbaik dalam penentuan calon.

"Sebagaimana PRK terdahulu Pemuda UMNO akan terus bekerja keras dengan mendekati pengundi muda mengatur strategi, mengambil kira keterbatasan SOP (prosedur operasi standard) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) yang masih berjalan," katanya kepada Sinar Harian.

Dua hari lalu, UMNO Perak dilaporkan sudah mempunyai sembilan nama individu untuk dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mewakili Barisan Nasional (BN) Ogos depan.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, semua calon berkenaan merupakan kalangan anak tempatan daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim.

"Jadi, biarlah Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi penjelasan secara terperinci mengenai calon itu," katanya.

Beliau yang juga Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak berkata, satu mesyuarat khas UMNO Perak dipengerusikan Saarani akan diadakan hari ini yang antara lain membincangkan PRK DUN Slim dan calon.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pucuk pimpinan parti itu juga memutuskan Saarani dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Slim dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dipengerusikan oleh Ahmad Zahid malam tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga berkata, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz pula dilantik sebagai Pengarah Operasi PRK tersebut.

PRK DUN Slim diadakan susulan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada15 Julai lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Mohd Khusairi mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Amran Ibrahim dan Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK yang ke-12 selepas PRU14.