'Saya tidak menipu atau lakukan kesalahan jenayah'

Md Rayhan (tengah) yang diburu selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 melibatkan warga asing berjaya ditahan semalam.
Md Rayhan (tengah) yang diburu selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 melibatkan warga asing berjaya ditahan semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Saya tidak menipu mahupun melakukan kesalahan jenayah sewaktu ditemubual Al Jazeera berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia baru-baru ini, kata Md Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia semalam.

Menurut laporan akhbar The Daily Star di Bangladesh, lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun itu memberitahu dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap PATI menerusi program terbitan stesen televisyen antarabangsa itu.

"Saya hanya mahu maruah negara dan migran seperti saya terjamin. Saya yakin semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya dalam isu ini," katanya dipetik sebagai berkata.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan Md Rayhan yang diburu pihaknya sebelum ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut mengesahkan bahawa Md Rayhan akan diusir keluar dan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Terdahulu, Md Rayhan menjadi buruan selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing.

Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Md Rayhan diusir keluar

Artikel Berkaitan:

Md Rayhan Kabir ditahan petang tadi

Dakwa dilayan seperti binatang, Rayhan Kabir digesa tampil