Megat Zulkarnian bakal dibantu dua timbalan

Megat Zulkarnain Omardin
Megat Zulkarnain Omardin
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) dijangka melantik dua timbalan ketua kontinjen Malaysia bagi membantu Chef de Mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada Sukan Sea Filipina 2019, November ini.

Sukan Sea 2019 dijadual berlangsung di empat kluster – Manila, Clark, Subic dan BLT (Batangas, La Union dan Tagaytay) dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Megat Zulkarnain berkata presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria telah menyatakan persetujuan dengan cadangan pelantikan dua timbalan CDM termasuk seorang wanita yang mempunyai pengalaman di persada sukan antarabangsa.

Bagaimanapun, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM dalam tempoh terdekat, katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas Sukan Sea 2019, di sini semalam.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina 2019 (PHILSGOC) kepada wakil daripada 40 persatuan sukan kebangsaan.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain, berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke beberapa venue latihan di seluruh negara bermula bulan depan bagi melihat sendiri persiapan atlet negara menghadapi Sukan Sea 2019.

Sementara itu, beliau, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), yakin Malaysia mampu meraih keputusan positif pada Sukan Sea 2019 walaupun ketiadaan beberapa pesilat elit negara termasuk bekas juara dunia, Mohd Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamad Nasir.

Ini susulan keputusan Filipina yang mempertandingkan sembilan kategori, dengan kategori kelas E (65-70kg) yang disertai Mohd Al-Jufferi dan Siti Rahmah pada beberapa edisi terdahulu, digugurkan pada kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak risau kerana kita dapat lihat kebangkitan pesilat (muda) kita iaitu kelas rendah terutamanya Mohamad Hazmi Amzad, Mohd Faizul Nasir dan Nor Farah Mazlan pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia tahun lepas, jadi kita ada peluang yang cukup besar.

“Tidak timbul soal bila kelas Mohd Al-Jufferi dan Siti Rahmah tidak dipertandingkan, maka kita hilang punca. Pada saya, ada bagusnya juga kerana kita tidak beri tekanan kepada kedua-dua pesilat ini sepanjang masa dan kali ini, biarlah pesilat muda yang memikul tanggungjawab,” tegas Megat Zulkarnain.

Beliau memaklumkan Pesaka telah menyusun beberapa program khas bagi memastikan kedua-dua pesilat elit negara itu terus berada dalam prestasi terbaik.

- Bernama