'PH cetus usaha Goldman Sachs pulangkan RM19 bilion duit 1MDB'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pemulangan wang daripada syarikat bank antarabangsa, Goldman Sachs kepada kerajaan Malaysia melalui penyelesaian berkaitan kes Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan bermula tanpa digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, pemulangan wang dana 1MDB setakat ini berjumlah RM19 bilion tercetus daripada kemenangan kerajaan PH dan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman kerajaan terdahulu.

"Majlis Presiden PH mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam usaha ini termasuk Peguam Negara pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia.

"Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu (pentadbiran kerajaan BN)," katanya.

Kenyataan dari Majlis Presiden PH dikemukakan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, di sebalik pemulangan semula wang dana 1MDB oleh Goldman Sachs, Majlis Presiden PH menyifatkan proses keadilan dalam isu 1MDB masih belum selesai dan mesti diteruskan hingga ke penghujungnya.

Menurutnya, Majlis Presiden PH mengingatkan kerajaan PH terdahulu tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk hanya memulangkan AS$1.75 bilion (RM7.46 bilion) kerana jumlah penuh yang dituntut adalah AS$7.5 bilion (RM32 bilion).

Artikel Berkaitan:

"PH menegaskan bahawa semua watak utama di dalam kes ‘scam’ 1MDB mesti diadili di mahkamah.

"Ini termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai 'MO1' dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan.

"Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman mengenai penyelesaian bernilai AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) yang telah dicapai antara kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs bagi tuntutan kerajaan berhubung salah laku dan penyelewengan dalam kes 1MDB.

Menurut beliau, dengan penyelesaian itu, dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah AS$4.5 bilion (RM19 bilion).