Ringgit stabil berbanding dolar US minggu hadapan

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT dijangka stabil dan berada dalam aliran kenaikan pada minggu hadapan, selepas mendapat dorongan akibat kelemahan dolar US berikutan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta menjelangnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC)

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes menjangkakan dolar US akan jatuh minggu hadapan memandangkan lembaga pengarah Rizab Persekutuan akan sangat berhati-hati dalam keputusan mengenai kadar faedah.

Ini akan memberi kesan ke atas risiko pertukaran asing Asia (FX) tetapi tidak terlalu dramatik.

"Saya menjangkakan tahap ujian pada jam 4.25 menjelang minggu hadapan dan pemacu utama adalah prestasi dolar US.

"Kelemahan dolar US akan memberi kelebihan kepada pasaran tempatan memandangkan setiap kali dolar US susut, pasaran Asia akan mendapat faedah kerana kelemahan ini akan menarik pelaburan AS ke Asia," katanya kepada Bernama.

Mesyuarat FOMC akan diadakan pada 28 dan 29 Julai ini.

FOMC pada 16 Mac lepas telah mengurangkan penanda aras kadar faedah kepada sifar disebabkan wabak koronavirus (Covid-19) telah menjejaskan rakyat dan merencatkan aktiviti ekonomi di banyak negara termasuk AS.

Innes bagaimanapun berkata, disebabkan oleh kesan daripada ketegangan AS-China, mata wang tempatan akan bergerak antara 4.25 dan 4.27 setiap dolar.

Artikel Berkaitan:

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar US pada 4.2620/2660 daripada 4.2630/2680 yang direkodkan tujuh hari lebih awal.

Berbanding dengan mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0764/0797 semalam daripada 3.0658/0698 yang direkodkan pada Jumaat sebelumnya dan menurun berbanding yen Jepun kepada 4.0068/0117 daripada 3.9774/9836.

Mata wang tempatan itu susut berbanding pound British kepada 5.4268/4336 daripada 5.3467/3546 dan melemah berbanding euro kepada 4.9426/9481 daripada 4.8649/8719 sebelum ini.

Ringgit dipengaruhi oleh prestasi dolar US, kes Covid-19 di AS, pergerakan harga minyak dan penutupan konsulat China di Houstan. - Bernama