KRM fokus Sukan Asia, Sukan Komanwel

Skuad negara dijangka menyertai Kejohanan Ragbi Asia 7s yang dijadualkan bermula pada September 2021.
Foto: KRM
Skuad negara dijangka menyertai Kejohanan Ragbi Asia 7s yang dijadualkan bermula pada September 2021. Foto: KRM
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) akan memberi fokus kepada persiapan menghadapi temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada 2022 berikutan ketiadaan acara ragbi tujuh sebelah pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun hadapan.

Temasya Sukan Komanwel di Birmingham, England dijadualkan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos dan diikuti Sukan Asia di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September 2022.

Menurut jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, beliau dimaklumkan pengurusan KRM akan menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan dana untuk menyertai beberapa kejohanan pemanas badan pada tahun hadapan sebelum menyertai dua temasya sukan berkenaan.

"Kita harap MSN dapat membantu skuad kebangsaan dalam penyediaan bajet bagi bersaing dengan pasukan gergasi dari luar pada tahun hadapan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Acara ragbi tujuh sebelah mungkin tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2021 disebabkan Vietnam dikatakan tidak mempunyai kemudahan pertandingan yang memenuhi standard antarabangsa bagi penganjuran acara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Saizul Hafifi berkata, skuad negara dijangka menyertai Kejohanan Ragbi Asia 7s yang dijadualkan bermula pada September 2021 di beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Sri Lanka.

Skuad ragbi tujuh sebelah negara dibarisi 15 pemain berusia 22 tahun dan ke bawah yang kebanyakan terdiri daripada pelajar universiti, selain lima lagi pemain senior sedia ada.

Pencapaian terbaik skuad ragbi tujuh sebelah negara pada tahun lepas adalah memenangi Trofi Asia 7s selepas mengatasi Singapura, 17-14 pada aksi final di Indonesia, selain meraih pingat perak Sukan SEA ke-30 di Filipina. - Bernama

Artikel Berkaitan: