Kebanjiran warga Bangladesh di Pekan Ampang tidak disenangi penduduk

Warga Bangladesh beratur hingga ke jalan mengganggu trafik di Pekan Ampang.
Warga Bangladesh beratur hingga ke jalan mengganggu trafik di Pekan Ampang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesesakan trafik di Pekan Ampang bertambah teruk sejak kewujudan Pusat Perkhidmatan Pasport Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di kawasan itu sejak dua tahun lalu.

Wakil Penduduk, Andre Lai, 40 berkata, kehadiran pelawat warga Bangladesh yang terlalu ramai di Pekan Ampang menimbulkan pelbagai masalah antaranya kacau ganggu, insiden pergaduhan dan isu kebersihan.

Menurutnya, beliau mendesak supaya permasalahan itu dilihat secara serius dan ditangani segera selari dengan sasaran Ampang sebagai bandaraya menjelang tahun depan.

"Saya harap penguatkuasaan dapat dilaksanakan setiap hari di kawasan ini bagi mengawal lalu lintas dan juga kesesakan urusan di konsulat berkenaan.

"Ada masanya, warga Bangladesh dilihat beratur panjang hingga ke luar bangunan hingga menimbulkan keadaan kurang senang peniaga di rumah kedai yang menjalankan perniagaan di sini," katanya selepas meninjau lokasi tersebut.

Andre berkata, kebanjiran warga Bangladesh di kawasan itu juga didakwa menjadi lubuk rezeki kepada peniaga baharu yang menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Andre (dua dari kanan) bersama penduduk dan peniaga berkumpul mendesak isu kesesakan di Pekan Ampang diberikan perhatian serius.
Andre (dua dari kanan) bersama penduduk dan peniaga berkumpul mendesak isu kesesakan di Pekan Ampang diberikan perhatian serius.

"Ada antara kedai makan di sini, tidak diketahui status lesen perniagaan dan kesihatan pekerjanya. Semakin banyak peniaga yang berniaga di kaki lima jalan dan menyebabkan gangguan trafik termasuk yang membuat parkir bertindih.

Artikel Berkaitan:

"Kedai perniagaan warga tempatan banyak terjejas akibat isu ini. Ia termasuk peniaga pasar awam yang mendakwa jumlah pengunjung semakin berkurang susulan tidak selesa dengan kehadiran warga asing yang terlalu ramai," katanya.

Seorang peniaga, Yap Meng Fatt, 66 mendakwa, jumlah warga Bangladesh berurusan di bangunan itu kebiasaannya sibuk pada hari Isnin dan Selasa.

"Apabila terlalu ramai warga Bangladesh berkumpul di sini menyebabkan gangguan dan bunyi bising, masalah sampah dan macam-macam.

Keadaan Pekan Ampang dipenuhi warga Bangladesh yang berurusan di
Pusat Perkhidmatan Pasport Suruhanjaya Tinggi Bangladesh
Keadaan Pekan Ampang dipenuhi warga Bangladesh yang berurusan di Pusat Perkhidmatan Pasport Suruhanjaya Tinggi Bangladesh

"Banyak kali peniaga di sini buat aduan kerana mengganggu perniagaan. Pelanggan tempatan kini tidak berminat berurusan di sini disebabkan isu warga asing selain susah untuk mendapatkan parkir," katanya.

Katanya, sebelum ini ada beberapa kali aduan dan desakan berhubung tekanan agar Pusat Perkhidmatan Pasport Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.

"Operasinya dalam Pekan Ampang menimbulkan banyak aduan, kalau tanya orang ramai memang semua mahu operasi bangunan itu dipindahkan.

"Namun, jika tidak dipindahkan saya berharap pihak berkuasa dapat mengawal keadaan, jangan benarkan mereka berkumpul dan pada musim koronavavirus (Covid-19) ini minta mereka jaga jarak serta ikut prosedur," katanya.