Sudah setahun rumah retak

Antara rumah penduduk yang berdepan isu retak dan juga struktur sistem saliran yang dibina sebelum ini pecah .
Antara rumah penduduk yang berdepan isu retak dan juga struktur sistem saliran yang dibina sebelum ini pecah .
A
A
A

SUBANG - Penduduk di Lot 3485 Kampung Melayu Subang meluahkan kebimbangan berdepan risiko bahaya apabila kediaman mereka mengalami masalah keretakan sejak setahun lalu.

Difahamkan, masalah keretakan itu mula berlaku selepas pembinaan longkang di kawasan berkenaan bagi pelaksanaan projek tebatan banjir, di sini.

Menurut seorang penduduk, Md Shah Russ 63, pembinaan longkang berkenaan menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di kawasan itu sehingga mengakibatkan unit kediaman penduduk turut terjejas.

“Selepas projek pembinaan longkang itu siap, tanah di sini mula menjadi mendap dan menyebabkan sebanyak 20 unit kediaman di sini terjejas akibat retak dan keadaan ini mula menggusarkan masyarakat setempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Shah berkata, pihaknya sememangnya tidak menghalang projek penambahbaikan sistem saliran tersebut memandangkan kawasan berkenaan sememangnya sering dilanda masalah banjir kilat terutama pada waktu hujan.

“Masalah keretakan yang berlaku di beberapa unit kediaman penduduk di sini mula menggusarkan masyarakat setempat yang terdedah kepada risiko bahaya.

“Sejak setahun lalu masalah retak ini semakin teruk dan kami mula gusar dengan risiko keselamatan di sini,” katanya.

Zulkarnain Hashim (kiri) dan Md Shah Russ
Zulkarnain Hashim (kiri) dan Md Shah Russ

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut seorang penduduk lain, Zulkarnain Hashim, 38, longkang berkenaan ditambah baik bagi mengalirkan air ke Sungai Damansara yang terletak bersebelahan kediaman penduduk.

“Kami sebagai penduduk tahu yang sistem saliran ini dibina demi kebaikan masyarakat setempat namun ia seharusnya menjalani proses kajian yang teliti bagi menggelakkan permasalahan pada masa hadapan.

“Walaupun longkang ini dibina dalam tempoh dua tahun namun terdapat beberapa kerosakan berlaku terhadap struktur binaan,” katanya.

Selain itu, Zulkarnain berkata, pihaknya juga sudah memanjangkan permasalahan tersebut kepada pihak bertanggungjawab bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil selepas ini berhubung permasalahan itu.

Bagaimanapun, dia berkata sehingga kini tiada sebarang tindakan lanjut diambil bagi mengatasi isu berkenaan yang menggusarkan penduduk setempat di sini.

“Kami tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak namun kami cuma harapkan supaya ada permasalahan ini mendapat perhatian memandangkan ia melibatkan isu keselamatan,” katanya.