Selamat datang Luqman Hakim

Luqman Hakim dijangka berlepas ke Belgium bulan depan.
Luqman Hakim dijangka berlepas ke Belgium bulan depan.
A
A
A

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak perlu resah memikirkan urusan dokumentasi sebelum berlepas ke Belgium bulan depan.

Menurut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia ke Belgium, Prisheela Prakas, pihaknya akan membantu Luqman Hakim melengkapkan proses perpindahannya ke kelab KV Kortrijk.

Prisheela berkata, wakil kedutaan negara tersebut akan memastikan perjalanan Luqman Hakim ke bumi Eropah itu nanti dalam keadaan terurus dan lebih baik.

Jelasnya, pihaknya turut akan berhubung kelab KVK yang dimiliki Tan Sri Vincent Tan bagi memudahkan proses visa dan permit kerja pemain berusia 18 tahun itu dengan kerjasama pihak kedutaan Belgium di Kuala Lumpur.“Pegawai kami sedang berurusan dengan wakil Luqman Hakim di Kuala Lumpur untuk membantu dalam urusannya ke sini. Sudah menjadi tangungjawab kami untuk membantu rakyat Malaysia dalam apa jua bentuk pertolongan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Dalam hal Luqman Hakim, kami akan berhubung dengan kelab KV Kortrijk di sini untuk membantu memudahkan proses. Kami boleh jadi pemudahcara dengan kerjasama pihak Kedutaan Belgium di Kuala Lumpur.

“Ini kerana secara teknikal, kami tidak boleh membantu dalam pengurusan visa dan permit kerja kerana proses itu melibatkan kerajaan Belgium dan kelab itu sendiri.

“Kami akan bantu bahagian imigresen dan juga protokol untuk memudahkan apa jua perihal dokumennya di Belgium. Sebelum ini, kami telah membantu rakyat Malaysia dalam hal-hal tertentu dan kini giliran Luqman Hakim,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam masa sama, Prisheela optimis Luqman Hakim yang diberikan kebenaran untuk 'terbang' ke Belgium di bawah kes istimewa, mampu menjadi contoh terbaik dalam usaha mengkomersialkan pemain Malaysia di pentas antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga berbangga dan teruja untuk membantu Luqman Hakim menjadi pemain Malaysia yang pertama di Belgium. Sekarang pihak kerajaan Belgium masih belum buka pintu sepenuhnya untuk pelancong masuk ke negara ini.

“Namun, pihak kerajaan Belgium telah membuka untuk sektor istimewa seperti diplomat dan kes istimewa di mana isu Luqman berada di bawah kes istimewa,” jelas Prisheela.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah memberikan kebenaran kepada Luqman Hakim yang telah mendapatkan Perakuan Tingkah Laku (Certificate of Good Conduct) untuk berlepas ke Belgium.