Cabaran baharu menanti MFL

Barisan pemain TFC menjalani latihan di Kuala Terengganu baru-baru ini. -Foto FB TERENGGANU FC
Barisan pemain TFC menjalani latihan di Kuala Terengganu baru-baru ini. -Foto FB TERENGGANU FC
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu mempunyai perancangan sokongan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos ini di sebalik ancaman penularan pandemik Covid-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, jika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ekoran peningkatan kes pesakit Covid-19, ia akan memberi cabaran besar kepada MFL menyusun jadual perlawanan.

“MFL kena ada tindakan proaktif dan tahu perancangan yang boleh dilakukan sekiranya ada negeri-negeri yang dikenakan PKPD. Kalaulah kata sesebuah negeri itu dikenakan PKPD, bagaimana dengan perjalanan perlawanan di negeri tersebut?

“Contoh terdekat adalah Sarawak yang kemungkinan akan dikenakan PKPD. Jadi di mana pasukan dari negeri tersebut akan bermain kerana setiap stadium sudah tentu perlu mendapatkan persetujuan daripada MFL terlebih dulu.

“Cabaran besar juga perlu difikirkan MFL dalam usaha mengekang Covid-19 ini merebak dalam kalangan pemain-pemain. Dengan trend kes Covid-19 yang mula meningkat, kita semua berisiko untuk dijangkiti.

“Mungkin sepanjang tempoh saingan liga berlangsung nanti, semua pasukan perlu dikuarantin di satu hotel dan hanya boleh bergerak ke stadium dan tempat latihan saja untuk meminimumkan risiko,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sejak minggu lalu, kes Covid-19 di negara ini kembali menunjukkan peningkatan dan situasi itu bakal memberikan impak besar kepada penganjuran Liga-M dijangka bersambung semula bulan depan.

Sarawak berkemungkinan akan dikenakan PKPD kembali selepas kes di negeri itu meningkat dengan mendadak. Ia memberikan gambaran bahawa kerajaan mungkin menguatkuasakan PKPD di negeri lain jika kes Covid-19 menunjukkan trend peningkatan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi setiap pemain dan pegawai harus memastikan orang yang mereka jumpa itu adalah orang yang terdekat. Ia penting kerana jika tidak berdisiplin dan adanya kes Covid-19 dalam kalangan pemain ataupegawai pasukan, ia akan merosakan perancangan yang telah dirangka MFL,” jelasnya.