Perak terima pelaburan tambahan RM1 bilion

Ahmad Faizal (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Lumut Port Izudin Ismail (dua dari kanan). - Foto Bernama
Ahmad Faizal (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Lumut Port Izudin Ismail (dua dari kanan). - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pembangunan ekonomi Perak yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) mendapat suntikan pelaburan tambahan berjumlah RM1 bilion daripada tujuh syarikat swasta tempatan.

Pelaburan dalam pelbagai sektor dan industri itu dijangka mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak mencapai sasaran RM103 bilion menjelang 2027.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku pihak pembangunan wilayah yang menangani impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi telah membentangkan pendekatan strategi serampang tiga mata yang menyarankan tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik, mempercepatkan pelaburan swasta dan memperkasakan rakyat.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan khususnya NCIA dalam menggerakkan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memulih ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

"Sebahagian daripada inisiatif ini adalah langkah-langkah proaktif untuk merancakkan ekonomi melalui pembangunan strategik rangsangan pelaburan dan program-program memperkasakan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen Komitmen Pelaburan antara NCIA dengan tujuh syarikat berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Tujuh syarikat berkenaan adalah Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, PHN Industry Sdn Bhd, Manjung Naluri Sdn Bhd (Mgrow), Mata Aerotech Sdn Bhd, Unisem Advanced Technologies Sdn Bhd, ExcelVite Sdn Bhd dan Gading Kencana Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, usahasama ini menjadi permulaan yang baik dalam usaha kerajaan negeri menarik lebih banyak pelaburan di Perak terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

Katanya, semua tujuh syarikat yang telah menandatangani komitmen pelaburan itu sudah tentu melihat potensi negeri Perak boleh membantu meluaskan perniagaan masing-masing.

"Semua syarikat mahupun individu terkesan dengan Covid-19, tetapi setiap syarikat yang melabur ini tentunya mempunyai perancangan jangka masa panjang dan mengambil kira semua aspek sebelum membuat persetujuan menandatangani komitmen pelaburan dengan kerajaan negeri," katanya.