Nur Farhana masih bercuti

Laporan Sinar Harian pada 17 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 17 Januari lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Genting, Balik Pulau, Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang di Balik Pulau pada 14 Januari lepas kini masih bercuti sementara menunggu kesihatan pulih sepenuhnya.

Suaminya, Muhammad Naim Mahayaddin, 29, berkata, buat masa ini, isterinya masih belum memulakan kerjanya seperti biasa di sekolah berkenaan.

Naim berkata, isterinya yang menerima kebenaran cuti lebih kurang tiga minggu kini sedang berehat di kediaman mereka di Langgar, di sini.

“Sekarang isteri belum bekerja lagi, Farhana dapat cuti kira-kira tiga minggu dan dia kini sedang berehat di rumah untuk menunggu tahap kesihatannya pulih sepenuhnya.

“Farhana berkemungkinan akan kembali mengajar dan bekerja semula pada Februari depan selepas tempoh cuti diberikan kepadanya tamat,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur keadaan isteri tercinta makin stabil dan beransur pulih sepenuhnya selepas kejadian menimpa dirinya pada Isnin minggu lepas.

Katanya, mereka sekeluarga kini berharap permohonan pertukaran sekolah isterinya ke mana-mana sekolah berdekatan di Kedah dapat direalisasikan segera.

Menurutnya, doktor turut menyarankan permohonan isteri dapat ditunaikan segera supaya kejadian menimpa dirinya sebelum ini tidak berulang kembali.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ada menghubungi saya untuk berbincang, namun saya minta diberikan masa seketika untuk Farhana bertenang terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, mereka akan berjumpa dengan pihak berkenaan untuk tindakan lanjut selepas keadaan Farhana pulih dengan baik.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru Pendidikan Islam SK Genting, dilaporkan hilang sejak 14 Januari sebelum ditemui selamat di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

Nur Farhana yang mengalami simptom tekanan serius sejak beberapa tahun lepas dikhuatiri hilang apabila tidak hadir ke sekolah tempat dia bekerja sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Kuala Kangsar, Asisten Komisioner, Razali Ibrahim mengesahkan guru Pendidikan Islam tersebut datang ke Balai Polis Kuala Kangsar seorang diri dengan berjalan kaki kira-kira pada 3.15 petang, Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru hadapi tekanan dikhuatiri hilang

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu Nur Farhana ditemui selamat

ARTIKEL BERKAITAN: Biar Nur Farhana bertenang dulu