Kakitangan UiTM Kuala Pilah diminta waspada

Laporan Sinar Harian hari ini berhubung harimau kumbang yang dirakam berlegar-legar di kawasan parkir UiTM Kuala Pilah.
Laporan Sinar Harian hari ini berhubung harimau kumbang yang dirakam berlegar-legar di kawasan parkir UiTM Kuala Pilah.
A
A
A

KUALA PILAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah dipanggil bagi memeriksa parameter dan menangkap harimau kumbang untuk ditempatkan ke habitat asal selepas haiwan itu muncul di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah Rabu lalu.

Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Profesor Dr Yamin Yasin dalam satu kenyataannya hari ini berkata, bagaimanapun haiwan tersebut tidak dijumpai, hanya kesan yang ditinggalkan menandakan ia telah tiada di kawasan UiTM.

"Dengan ini pihak pengurusan telah mengingatkan para pekerja untuk berhati-hati dan sentiasa bersiap-siaga dengan keadaan sekeliling.

"Untuk makluman, setakat ini hanya pekerja pentadbiran yang bertugas. Pensyarah dan pelajar masih meneruskan sesi belajar dalam talian dari kediaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihak universiti sentiasa prihatin dan mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan warganya.

"Pihak pengurusan mengalu-alukan sebarang komen atau cadangan dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan di kampus ini secara khususnya dan UiTM secara amnya," katanya.

Terdahulu, tular gambar seekor harimau kumbang di sekitar kampus UiTM Kuala Pilah didakwa berkeliaran di sekitar kampus itu pada petang Rabu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau kumbang berlegar-legar di UiTM Kuala Pilah

Artikel Berkaitan: