Mini Sukan Para ASEAN: MPM tunggu maklum balas Sarawak

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak dalam masa terdekat bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai penganjuran kejohanan 'Mini Sukan Para ASEAN' yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kertas kerja mengenai kejohanan berpasukan para itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

"Kami sekarang tengah tunggu maklum balas daripada kerajaan Sarawak dan saya akan berjumpa menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam bulan ini juga. Beliau positif dengan perancangan ini.

"MPM akan umum tarikh, acara serta nama sebenar kejohanan sebaik sahaja mendapat kata putus daripada pihak kerajaan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra MPM bersama Persatuan Boccia Selangor di Petaling Jaya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Negara yang juga Pengerusi dan Pengasas Persatuan Bersama OKU Sentral, Senator Ras Adiba Mohd Radzi.

Penganjuran kejohanan yang boleh dianggap sebagai 'Mini Sukan Para ASEAN' itu adalah bagi menggantikan Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina pada Oktober, yang terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Megat Shahriman berkata, MPM akan menjemput negara ASEAN lain untuk menyertai kejohanan melibatkan tujuh acara berpasukan yang diadakan di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Megat Shahriman berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meningkatkan jumlah pemberian dana kepada MPM susulan peningkatan jumlah atlet para pada masa ini.

Artikel Berkaitan: