X

Kindly register in order to view this article
!

Stesen kuarantin dibuka di Johor

R Vidyananthan
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyediakan beberapa hotel sebagai stesen kuarantin untuk warga tempatan dan asing yang masuk menerusi lima Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, Hotel Ramada merupakan stesen kuarantin pertama yang dibuka di Johor Bahru bermula hari ini yang diuruskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Semalam seramai 1,137 individu melalui PMA iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) melibatkan 951 orang, Kompleks Sultan Abu Bakar (119), Jeti Stulang Laut (61), Pelabuhan Tanjung Pelepas (3) dan Pelabuhan Pasir Gudang (3).

"Daripada jumlah tersebut, seramai 1,113 orang dibawa ke Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi tujuan saringan kesihatan.

"Hasil saringan kesihatan di MPC, seorang warganegara didapati positif koronavirus (Covid-19) dan dihantar ke Hospital Enchee' Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang tiba di negara ini mulai hari ini dan akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin yang sudah ditetapkan.

Katanya, sehingga semalam Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan jumlah kumulatif kes positif di Johor kekal 718 kes.

"Daripada jumlah itu, 19 kes adalah kes aktif. Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor kekal sebanyak 21 orang," katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam juga jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah 678 kes.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, Pasukan Khas Operasi Pematuhan ditubuhkan yang membuat pemeriksaan di 3,860 buah premis dan tiada tangkapan dibuat atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, pemeriksaan turut dibantu agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), APM dan Polis Sukarelawan Simpanan (PVR).

"Jumlah pegawai dan anggota yang terlibat dalam Pasukan Khas Operasi Pematuhan semalam adalah seramai 3,310 orang dengan pecahan 3,225 anggota polis, 49 anggota Rela, 21 anggota APM dan 15 anggota PVR," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!