Bekas CEO FGV sertai UMNO

Zakaria (kanan) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ahmad Jazlan di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Zakaria (kanan) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ahmad Jazlan di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Bhd, Datuk Zakaria Arshad yang juga ahli Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menyertai UMNO.

Zakaria berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau melihat visi dan objektif Amanah semakin tersasar serta tidak selari dengan pendiriannya ketika ini.

Selain itu, katanya, hal dalaman Amanah turut menyukarkan beliau untuk melaksanakan apa yang telah dirancang, sekali gus membantutkan usaha untuk bergerak ke hadapan.

"Oleh demikian, selepas memberi pertimbangan sewajarnya, saya percaya UMNO yang merupakan komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini adalah platform terbaik untuk saya terus memberikan sumbangan kecil kepada masyarakat dan negara khususnya.

"Maka dengan ini saya mengumumkan untuk keluar dari Amanah dan seterusnya menyertai UMNO sebagai ahli," katanya selepas menyerahkan borang keahlian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Borang keahlian itu diserahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, Ahmad Jazlan ketika ditemui berkata, dengan penyertaan Zakaria itu diyakini akan memperkukuhkan lagi parti berdasarkan pengalaman beliau dalam pelbagai bidang sebelum ini.

Menurutnya, UMNO sememangnya terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang hendak bersama UMNO. Kalau hendak memperkuatkan parti, kita mestilah mesti bersikap terbuka menerima sesiapa sahaja.

"Parti kita akan kuat bila kita begitu diyakini orang ramai dan rakyat. Dengan sikap terbuka akan menjadikan orang akan lebih kembali kepada UMNO," katanya.