Covid-19: KKM kesan tiga lagi kluster baharu

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu hari ini iaitu Kluster Elsa di Pahang, Kluster PUI Ramnad di Kuala Lumpur dan Kluster PUI Al Khobar di Selangor.

Kes indeks Kluster Elsa melibatkan bukan warganegara, manakala bagi Kluster PUI Ramnad dan Kluster PUI Al Khobar pula melibatkan warga tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks Kluster Elsa iaitu kes ke-8,839, merupakan seorang kru kapal, serta mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea.

“Beliau telah masuk ke Malaysia pada 16 Julai untuk mula bekerja. Saringan koronavirus (Covid-19) di Filipina pada 14 Julai lalu dilaporkan negatif.

“Beliau kemudiannya menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal, setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut. Lima hari kemudiannya iaitu pada 20 Julai, beliau mula mengalami gejala,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ketiga-tiga kluster itu merupakan penularan di dalam negara yang berpunca daripada kes import.

Susulan itu, seramai 108 kontak rapat disaring dan daripada jumlah itu, tiga positif Covid-19 (dua bukan warganegara dan satu warganegara), 48 negatif, manakala 57 lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, bagi kes indeks Kluster PUI Ramnad (kes ke-8,817), beliau pulang ke Malaysia dari negara India pada 6 Julai lalu, namun saringan di pintu masuk negara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham memaklumkan beliau menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai lalu.

“Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Seramai 18 kontak rapat disaring dan mereka terdiri daripada enam ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat,” katanya dan menambah daripada jumlah itu, dua dikesan positif (iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks), 13 negatif, manakala tiga masih menunggu keputusan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster PUI Al Khobar (kes ke-8,803) pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai lalu, namun saringan di pintu masuk negara KLIA didapati negatif.

"Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai dan dikesan positif Covid-19 pada 20 Julai lalu.

“Beliau (kes indeks) menjalani HSO bersama lima orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks, menaiki pesawat yang sama. Rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua orang ahli keluarga yang lain,” katanya.

Hasil saringan ke atas tujuh orang ahli keluarga beliau mendapati satu dikesan positif manakala enam negatif.

Jelasnya, siasatan dan saringan kontak rapat sedang diteruskan termasuk saringan penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster ini. - Bernama

#COVID19: 21 kes baharu dilapor hari ini, jumlah kumulatif 8,861 kes: KP Kesihatan - Bernama pic.twitter.com/k1CosLVEmJ

— SinarOnline (@SinarOnline) July 24, 2020