Sengit sehingga garisan penamat

A
A
A
RENCANA ini adalah susulan kepada rencana terdahulu yang telah disiarkan oleh Sinar Harian pada 18 Januari lalu bertajuk 'Ujian getir di Cameron Highlands'.

Dalam rencana tersebut penulis telah membuat ulasan tentang isu-isu semasa, sama ada di peringkat nasional ataupun tempatan yang bakal mempengaruhi sikap dan sentimen pengundi Cameron Highlands.

Penulis telah membuat ramalan dalam keadaan semasa ketika itu, Umno/BN dijangka boleh menang tipis dalam lingkungan 600 undi sahaja. Namun penulis telah memasukkan kaveat bahawa PH masih mampu mengubah keadaan dan membuat kejutan jika mereka berjaya meyakinkan pengundi atas pagar yang dianggar berjumlah kurang lebih 3,500 ketika itu.

Perkembangan di hari-hari akhir

PH telah melancarkan kempen dan gerakan yang agresif di hari-hari terakhir untuk cuba meyakinkan pengundi bahawa mereka berhak dan layak terus diyakini dan disokong oleh pengundi Cameron Highlands.

Selain daripada faktor-faktor yang telah disebut oleh penulis dalam rencana terdahulu, PH telah memberi penekanan khusus kepada isu pembangunan di Cameron Highlands. Mereka menarik perhatian pengundi bahawa pembangunan ekonomi dan keadaan infrastruktur di Cameron Highlands seperti jalan raya dan kemudahan asas lain berada pada tahap yang sungguh mengecewakan.

Pengundi diingatkan bahawa PH menguasai Kerajaan Pusat, oleh itu hanya PH yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan, logistik dan jentera untuk membawa serta menjana pembangunan ekonomi dan menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk Cameron Highlands.

Pengundi juga diingatkan bahawa Umno/BN yang telah sekian lama mentadbir kerajaan dengan bajet defisit dan terpaksa bergantung harap kepada Kerajaan Pusat untuk menampung defisit tersebut. Pengundi dapat melihat sendiri kemampuan kerajaan negeri dan prioriti yang telah diberi oleh MIC/BN dalam hal-hal pembangunan dan infrastruktur Cameron Highlands selama ini.

Isu ini nampaknya telah memberi kesan dan impak yang besar kepada pengundi Cameron Highlands di saat-saat akhir ini, khususnya kepada pengundi atas pagar dan yang kurang komited kepada Umno/BN. Tambah lagi ramai pengundi yang berfikiran bahawa Umno/BN masih belum pulih daripada masalah kredibiliti dan defisit kepercayaan peninggalan legasi Umno/BN di bawah Najib Razak dulu.

Tokoh-tokoh besar PH seperti Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Mat Sabu dan lain-lain ikut turun padang dan menjadi tarikan utama kepada pengundi. Calon PH, M. Manogaran juga adalah wajah yang dikenali oleh ramai pengundi kerana sudah dua penggal beliau bertanding di Cameron Highlands sebelum ini walaupun tewas.

Artikel Berkaitan:

Tun M juga disebut-sebut akan ikut turun padang pada hari terakhir untuk berkempen dan memberi sokongan kepada Manogaran.

Umno/BN juga tidak ketinggalan dalam usaha dan gerak kerja mereka. Kempen mereka rancak dijalankan dan mendapat sokongan yang mengalakkan. Pada zahirnya dari aspek perang poster, perang saraf, penyediaan logistik dan sokongan bala tentera, Umno/BN nampak masih mempunyai kemampuan dan kekuatan yang hebat.

Nampak gaya dana kewangan Umno/BN tetap kukuh untuk membolehkan mereka berbelanja menampung kempen dan gerak kerja jentera PRK. Tokoh-tokoh besar mereka seperti Najib, Mohammad Hassan dan pemimpin dari MIC juga ikut hadir untuk berkempen. Namun tokoh-tokoh besar dari MCA tidak begitu kelihatan. Najib dilihat sebagai tokoh yang masih popular di kalangan pengundi Melayu dan Orang Asli.

Tema yang sering dibawa oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN ialah tentang kegagalan PH untuk menunaikan janji-janji empuk mereka yang terkandung dalam manifesto PRU14. Mereka memberi penekanan bahawa PH cakap tidak serupa bikin dan mengingatkan pengundi agar tidak membiarkan diri mereka tertipu sekali lagi oleh PH.

Ramli Mohd Nor, calon Umno/BN nampaknya mendapat sokongan yang kuat daripada pengundi Orang Asli dan sebahagian besar pengundi Melayu. Tetapi dari segi ketokohan, nampaknya dia tidak dapat menandingi ketokohan Manogaran. Ramli dilihat sebagai kaku dengan pengundi dan masih membawa persona dan keperibadian sebagai pegawai kanan polis.

Pas juga memberi sokongan yang kuat dan padu kepada Umno/BN. Dilihat daripada beberapa program ceramah yang telah diadakan mereka, adalah jelas dan nyata sekali bahawa ahli dan penyokong mereka tetap tidak berganjak dan berdiri teguh di belakang pemimpin mereka. Kerjasama yang lebih erat dan kental di antara Pas dan Umno/BN dalam PRK Cameron Highlands memberi harapan yang lebih cerah tentang gagasan perpaduan diantara mereka di peringkat nasional di masa hadapan.

Rumusan dan ramalan mutakhir

Setelah mengambil kira keadaan semasa dan perkembangan-perkembangan di hari-hari akhir, persaingan hebat dan sengit dijangka berlarutan sehingga hari pengundian nanti. Perlumbaan dijangka sehingga garisan penamat.

Jika Tun M dan Anwar dapat sama-sama turun padang sebagai gandingan berbisa pada 25 Januari ini seperti mana yang dirancang, maka ianya dijangka mampu membawa impak yang besar kepada pengundi-pengundi atas pagar untuk memilih PH, sekaligus mempengaruhi keputusan PRK Cameron. Malah mungkin menghasilkan kemenangan mengejut untuk PH.

Harapan rakyat jelata

Mendengar dan membaca komen serta maklum balas daripada rakyat jelata tentang jangkaan dan harapan mereka, penulis dapat merasakan bahawa mereka boleh menerima apa sahaja keputusan nanti dengan jiwa yang lapang dan hati yang senang.

Jika PH menang, maka ia akan dianggap sebagai kesinambungan kepada sokongan yang diberi kepada PH semasa PRU14. Maka kemenangan di Cameron Highlands sewajarnya mendorong PH untuk menghargai suara rakyat kerana dalam keadaan mereka kalut dan sibuk dengan berbagai masalah luar dan dalam, rakyat masih lagi memberi kepercayaan kepada mereka.

PH perlu menerima kemenangan tersebut dengan rendah hati dan memperbaharui iltizam mereka untuk membaiki prestasi mereka di masa hadapan serta berazam untuk menjadi sebuah kerajaan yang lebih berdaya maju daripada apa yang telah mereka tunjuk setakat ini.

Jika Umno/BN menang, rakyat juga boleh menerima keputusan tersebut dengan tenang dan senang. Sekurang-kurangnya keputusan itu memaksa PH untuk bermuhasabah diri dan mencari sebab dan punca salah silap mereka. Dan, mengajar mereka agar lebih peka dengan suara rakyat dan lebih prihatin dengan rungutan mereka. Menyedari bahawa sokongan rakyat kepada mereka dalam PRU14 dan 4 PRK sebelum ini bukanlah satu 'carte - blanche' untuk mereka melakukan apa saja yang mereka suka tanpa mempedulikan harapan dan aspirasi rakyat. Ianya akan menjadi satu 'wake-up call' kepada mereka agar tidak leka dan alpa dalam mentadbir negara dan memikul tanggung-jawap. Mereka perlu sedar bahawa rakyat mampu berfikir secara kritis dan bijak untuk membuat pilihan dengan memberi sokongan kepada pihak yang mereka yakini lebih mampu untuk menjaga serta melindungi kepentingan mereka.

Lagipun rakyat sedar dan akur bahawa negara perlukan satu sistem politik di mana ada parti alternatif yang kuat dan kredibel untuk menandingi gagasan PH yang menguasai tampok kerajaan. Untuk memain peranan semak dan imbang. Agar demokrasi kita akan jadi lebih terjamin dan kepentingan rakyat lebih terjaga.

Kemenangan untuk Umno/BN juga mampu menyuntik kembali semangat juang mereka yang kian lumpuh dan luntur akhir-akhir ini. Ianya juga membuka ruang dan peluang kepada Umno dan Pas untuk bekerjasama dengan lebih erat dan padu lagi di masa hadapan.

Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk rakyat dan negara kita yang tercinta.Insya-ALLAH