Aidiladha: Pelawat dibenar melawat penghuni penjara

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga penghuni institusi penjara dibenar melawat penghuni penjara pada 1 dan 2 Ogos ini sempena Hari Raya Aidiladha.

Jabatan Penjara dalam kenyataan berkata, bagaimanapun tiada lawatan pada hari pertama Aidiladha iaitu pada 31 Julai ini.

“Penetapan ini melibatkan semua penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

“Pelawat perlu mematuhi peraturan lawatan yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara iaitu keutamaan lawatan pada hari berkenaan diberi kepada penghuni yang beragama Islam sahaja,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelawat perlu membuat janji temu dengan Institusi penjara yang berkenaan sebelum perjumpaan dilakukan, bagi menetapkan tarikh dan masa lawatan serta membawa kad lawatan dan kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

“Selain itu, pelawat tidak dibenarkan membawa atau memberi sebarang makanan dan minuman kepada penghuni kerana makanan dan minuman boleh dibeli dari kantin penjara.

“Pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni kecuali atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelawat diwajibkan mematuhi langkah-langkah pencegahan penyebaran koronavirus (Covid-19) yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: