SPRM gagal lucut hak RM100,000 Kasitah

Kasitah (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kes skandal 1MDB.
Kasitah (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kes skandal 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal untuk melucutkan wang RM100,000 milik bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, SPRM gagal membuktikan bahawa wang yang disita dalam akaun CIMB Bank Berhad milik Kasitah adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, berdasarkan keseimbangan kemungkinan, pemohon (SPRM) tidak berjaya membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA.

Menurutnya, tidak dipertikaikan Kasitah selaku responden menerima cek bernilai RM100,000 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 Februari 2012.

Bagaimanapun, katanya, responden menafikan wang yang disita oleh SPRM itu merupakan wang yang diterima daripada Najib.

Sebaliknya, beliau berkata, responden mengesahkan wang yang disita merupakan hasil simpanan pencen persaraannya selaku penjawat awam.

Untuk rekod, Kasitah berkhidmat sebagai Menteri Tanah dan Pembangunan bermula 1999 dan bersara pada 2004.

“Mahkamah berpendapat responden menerima wang dari Najib pada 2 Februari 2012 manakala akaun banknya dibekukan enam tahun dan empat bulan kemudian iaitu pada 25 Jun 2018.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, wang yang perlu dilucutkan mestilah wang hasil daripada aktiviti yang tidak sah. Dalam keadaan itu, saya dengan ini menolak permohonan pemohon (SPRM),” katanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide manakala peguam, Sasila Basri dan Samilah Ab Wahab mewakili Kasitah.

Pada Jun 2019, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya berkata, SPRM mengemukakan saman pelucutan sivil terhadap 41 responden melibatkan RM270 juta yang didakwa ada kaitan dengan skandal dana 1MDB yang mana ia dikaitkan dengan Najib.