Tertipu aktiviti jual beli emas melalui WhatsApp

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita kerugian RM2,760 selepas tertipu dengan admin sebuah kumpulan WhatsApp jual beli emas yang menawarkan pembelian barang kemas tidak wujud.

Mangsa berusia 30 tahun dari Lipis menyertai kumpulan WhatsApp jual beli emas itu pada 24 September tahun lalu selepas tertarik dengan seutas gelang emas yang dijual melalui skim bayaran mudah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berhasrat memiliki gelang seberat 37.34 gram yang ditawarkan pada harga RM6,360 dan berurusan dengan peniaga wanita (suspek) melalui laman sosial itu.

Menurutnya, mangsa ditawarkan skim bayaran mudah secara ansuran selama lapan bulan.

"Mangsa perlu membayar ansuran RM648 setiap bulan dengan bayaran pendahuluan RM1,200 dan barang kemas yang dibeli hanya akan diserahkan selepas semua bayaran diselesaikan.

"Mangsa membuat bayaran pertama RM1,180 pada 10 Oktober tahun lalu dan tiga pembayaran seterusnya sehingga 7 Disember membabitkan jumlah keseluruhan RM2,760," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga dan syak dia ditipu selepas suspek gagal dihubungi lalu membuat laporan polis semalam.

"Kes ini dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: