PN Selangor perlu bijak raih keyakinan rakyat

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor perlu lebih bijak mengatur langkah untuk meraih keyakinan rakyat bagi memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dapat ditumbangkan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, PN Selangor tidak seharusnya terbawa-bawa dengan ideologi kerakusan kuasa dan gila jawatan seperti yang ditunjukkan pimpinan PH ketika mentadbir kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Beliau berkata, PN merupakan sebuah gabungan baharu dan wajar diperkuatkan dengan semangat permuafakatan serta mengutamakan kepentingan rakyat.

"Janganlah kita terbawa-bawa dengan ideologi kerakusan kuasa dan gila jawatan. Matlamat tidak menghalalkan cara.

ARTIKEL BERKAITAN: Noh persoal tiada wakil PN dalam MTPNg Selangor

"Muafakat Nasional perlu terus diperkukuhkan, perpaduan kepelbagaian masyarakat juga perlu diperkasa melalui semangat rukun negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, situasi gabungan PN di negeri ini kelihatan sedikit bergolak apabila Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mempertikaikan penganjuran mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Noh mempertikaikan penganjuran mesyuarat itu berikutan tidak melibatkan wakil rakyat daripada komponen PN yang mewakili kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Selain Noh, Ahmad Yunus sebelum ini turut mempertikaikan penganjuran mesyuarat berkenaan yang dilihat berbeza dengan negeri pembangkang lain seperti Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang turut mengingatkan ahli Pas Selangor supaya terus istiqamah dalam perjuangan dan memperkasakan tarbiyah di peringkat cawangan.

"Janganlah (pula nanti jadi seperti) kita solat di hadapan Kaabah, tapi berimamkan imam di Masjidil Aqsa," katanya.