X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan wajar kembalikan semula MyBrain15

Asyraf Wajdi Dusuki
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyarankan kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menghidupkan kembali program MyBrain15.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program berkenaan merupakan satu inisiatif kerajaan terdahulu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membiayai anak-anak muda dalam kalangan graduan yang layak untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

“Program ini terbahagi kepada MyPhD, MyPhD Industri dan MyMaster di mana ia mendapat sokongan kuat daripada kerajaan ketika itu, bahkan dimasukkan sebahagian agenda utama dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan pada tahun 2015 dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM500 juta.

“Sehingga 2016, rekod menunjukkan program ini telah berjaya melahirkan 23,000 doktor falsafah dan lebih 50,000 pelajar beroleh pembiayaan daripada program ini.

“Saya fikir, jika diteruskan, MyBrain15 ini mampu menghasilkan 60,000 pemegang PhD menjelang 2023,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, program yang baik ini telah dipolitikkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menghentikannya atas alasan tiada peruntukan, kekangan kewangan dan bebanan hutang kerajaan.

Pemuda UMNO berpendapat program penajaan pengajian di peringkat Sarjana dan PhD adalah salah satu pelaburan yang mampu memberikan kesan positif jangka panjang kepada penjanaan ekonomi negara dari segi pembangunan sektor penyelidikan dan melahirkan modal insan berkualiti.

“Hari ini akibat pandemik koronavirus (Covid-19), kita berhadapan dengan jumlah pengangguran yang tinggi termasuk dalam kalangan graduan.

“Seharusnya kerajaan hari ini dapat mempertimbangkan secara serius cadangan mengembalikan semula program MyBrain15 sebagai salah satu inisiatif pemulihan dan penjanaan semula ekonomi negara pasca Covid-19,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!