Warden rumah kebajikan didakwa tampar mulut kanak-kanak

Seorang warden rumah kebajikan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menampar mulut seorang kanak-kanak perempuan Januari lepas. - Gambar hiasan 123RF
Seorang warden rumah kebajikan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menampar mulut seorang kanak-kanak perempuan Januari lepas. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warden rumah kebajikan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menampar mulut seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun sehingga cedera pada bibir mangsa, Januari lepas.

Nor Jaiton Husin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah kebajikan di Persiaran Titiwangsa, di sini pada 4.30 petang, 23 Januari lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala Nor Jaiton yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jaminan dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga serta mempunyai seorang ibu di kampung.

"Saya mohon maaf kerana tindakan saya itu bukan untuk mencederakan (kanak-kanak itu) tetapi untuk mendidik," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 12 Ogos untuk sebutan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: