Jentera Pas sedia bantu UMNO untuk PRK Slim

Idris (dua dari kiri) dan Muhammad Sanusi (tengah) selepas Pelancaran Kuliah Dhuha Jumaat di Dewan Sri Mentaloon di Alor Setar hari ini.
Idris (dua dari kiri) dan Muhammad Sanusi (tengah) selepas Pelancaran Kuliah Dhuha Jumaat di Dewan Sri Mentaloon di Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas sedia menggerakkan jentera parti itu bagi membantu UMNO berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos depan.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, kesediaan itu atas dasar membantu rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Insya-ALLAH, kalau yang bertanding itu daripada PN. Bagaimanapun, bilangan jentera yang akan dihantar belum disahkan buat masa ini. Sebaliknya ikut keperluan, kerana mungkin di peringkat DUN tak buat (gerakkan jentera kempen)," katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Kuliah Dhuha Jumaat di Dewan Sri Mentaloon di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Idris berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Pas akan membantu UMNO yang berhasrat meletakkan calonnya bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Slim itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan UMNO Perak sudah mempunyai sembilan nama individu terdiri daripada anak tempatan daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim untuk dicalonkan bertanding pada PRK DUN Slim bagi mewakili BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh PRK DUN Slim berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.

Artikel Berkaitan: