Pesta juara Juventus tertangguh

Cristiano Ronaldo gagal membantu Juventus mencatatkan kemenangan ke atas Udinese awal pagi tadi.
Cristiano Ronaldo gagal membantu Juventus mencatatkan kemenangan ke atas Udinese awal pagi tadi.
A
A
A

JUVENTUS masih perlu menunggu sebelum boleh dinobatkan sebagai juara Serie A buat kali kesembilan berturut-turut selepas tewas mengejut kepada Udinese 1-2 dalam aksi di Stadium Dacia, awal pagi tadi.

Pengendali Juventus, Maurizio Sarri berkata, kekalahan itu sedikit mengecewakannya namun mengakui para pemainnya berada dalam keadaan keletihan ketika mengharungi jadual perlawanan liga.

"Dalam waktu sekarang, kami secara fizikal dan mental sangat letih dan ia perkara biasa berlaku kepada semua orang.

"Atas sebab itu, untuk bermain secara agresif akan menjadi sangat sukar apatah lagi corak dan tempo perlawanan sentiasa berubah-ubah selepas saingan liga bersambung semula.

"Susah untuk kami mengekalkan tahap konsisten dalam setiap perlawanan dan kadang-kadang kami akan tewas seperti hari ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, pertahanan Juventus Matthijs de Ligt meletakkan pelawat dihadapan pada minit ke-42, namun Udinese bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua melalui Ilija Nestorovski dan Seko Fofana untuk mengesahkan tiga mata berharga.

Juventus kini berada di kedudukan teratas liga dengan 80 mata dibezakan enam mata dengan Atalanta di kedudukan kedua dengan saingan liga berbaki dua perlawanan.

Justeru, Sarri kini menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya menentang Cagliari Khamis depan untuk mengesahkan kejuaraan liga.

Artikel Berkaitan:

"Itu memang menjadi fokus saya ketika ini dan semua tahu kami juga perlu menghadapi saingan Liga Juara-Juara menentang Lyon awal bulan depan. Menjadi keutamaan saya untuk memberikan foksu terlebih dahulu kepada saingan liga," katanya.