Ahok bakal dibebaskan hari ini

Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok
Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Bekas Gabenor Jakarta dijangka dibebaskan dari penjara hari ini, hampir dua tahun selepas beliau disabitkan bersalah menghina agama Islam.

Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok adalah gabenor bukan Islam pertama Jakarta dalam tempoh setengah abad dan pemimpin keturunan Cina pertama.

Beliau adalah politikus popular yang dipuji kerana cubaannya mengurangkan kesesakan luar biasa di bandar mega itu serta perang memerangi rasuah dilancarnya.

Tetapi reputasinya tercalar dan mengalami kejatuhan mendadak selepas komen yang dibuatnya ketika pemilihan semula yang menyebabkan beliau didakwa menghina Islam.

Rakaman kenyataannya tular, mencetuskan protes besar-besaran di Jakarta, diketuai kumpulan radikal yang menentang pemilihan pemimpin bukan Islam dan diransang oleh musuh politiknya.

Beliau kalah pilihan raya kepada seorang politikus Islam dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada 2017.

Dakwaan ke atas Ahok, 52, tertumpu kepada kenyataan yang dibuat kepada pengundi tentang lawan politiknya beragama Islam yang menggunakan ayat al-Quran untuk menarik orang mengundinya, yang diputuskan hakim menghina agama Islam.

Undang-undang hina agama Indonesia menyatakan sesiapa sahaja boleh disabitkan bersalah kerana “meluahkan rasa tidak puas hati” terhadap mana-mana agama boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Ia terpakai kepada enam agama rasmi termasuklah Kristian, Buddha dan Hindu, tetapi kebanyakan kes pendakwaan berkaitan dengan Islam yang dianuti hampir 90% penduduknya. - AFP