Tiga anggota polis tak mengaku salah samun guna senjata

Kesemua tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Georgetown selepas menghadapi pertuduhan samun berkumpulan menggunakan senjata hari ini.
Kesemua tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Georgetown selepas menghadapi pertuduhan samun berkumpulan menggunakan senjata hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Tujuh lelaki termasuk tiga anggota polis berpangkat lans koperal dan koperal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan samun berkumpulan bersenjata di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Nazarudin Abdul Manan, 36, Khairul Hisham Hamzah, 42, Wan Abdul Rahim Md Shariff, 36, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, Perak dituduh melakukan kesalahan tersebut bersama empat individu lain minggu lalu.

Empat individu tersebut ialah penjual kereta terpakai, Wan Abdul Rahman Md Shariff, 36; pekerja kilang, Mohamad Sahar Ismail, 43; serta dua warga Indonesia, Guno Sutowo, 24, dan Iis Sutejo, 29.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama telah melakukan samun berkumpulan terhadap harta milikan MSKM Mohamed Haniffa Forex Sdn Bhd dengan bersenjatakan pistol.

Mereka dituduh menyamun pelbagai mata wang kertas dan syiling selain sebuah 'projector' dengan nilai keseluruhan RM47,200 di Jalan Masjid Kapitan Keling pada jam 9.45 malam, 14 Julai lalu.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Nazarudin, Khairul Hisham, Wan Abdul Rahim dan Wan Abdul Rahman diwakili peguam, Mohd Khairul Hafizuddin manakala Mohamad Sahar, Guno dan Iis tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar yang mengendalikan kes memohon kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Sementara itu, dalam rayuannya, Mohd Khairul memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan syarat tambahan.

Mohd Khairul memohon perkara itu di atas alasan mustahil untuk anak guamnya melarikan diri kerana tiga daripadanya anggota polis yang akan digantung kerja selain Wan Rahman hanya penjual kereta terpakai.

Sehubungan itu, Mazdi menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, menyerahkan pasport dan dilarang mengganggu mangsa, pengadu dan saksi pendakwaan dengan apa cara sekali pun.

Jaminan itu untuk setiap tertuduh kecuali dua warga Indonesia terbabit.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula.