'Tak perlu lesen untuk muat naik video di media sosial'

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Mana-mana pengguna media sosial bebas menggunakan platform seperti TikTok dan YouTube untuk memuat naik video tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pada masa sama, Kabinet bersetuju untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) dengan mengambil kira situasi semasa.

Menurutnya, kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menyokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.

"Saya ingin memaklumkan kerajaan telah bersetuju dan memutuskan perkara berikut iaitu menegaskan pendirian menyokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tiada niat sekat kebebasan individu di media sosial

'Rakaman TikTok perlu kebenaran Finas melucukan'

Video projek universiti perlu mohon lesen Finas ke, kata Nik Nazmi

"Kedua, pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, Youtube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa Finas.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga, kerajaan akan meminda Akta Finas (Akta 244) dengan mengambil kira situasi semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, sebagai lanjutan daripada kenyataannya semalam, beliau sekali lagi menjelaskan kerajaan tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta Finas untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial serta keperluan menambah baik akta itu.

"Sepertimana diumumkan pada 20 Jun lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah memulakan usaha meminda akta-akta di bawah pengurusan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa.

"Kerajaan akan memulakan proses meminda akta-akta itu dalam masa terdekat," katanya.

Semalam, peraturan terbaharu kerajaan mewajibkan penerbit filem tradisi dan media sosial memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) melalui Finas mengundang kegusaran ramai pihak.

Saifuddin sewaktu menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) di persidangan Dewan Rakyat menegaskan penerbit filem wajib memohon lesen SPP, sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau secara tradisi.

Menurutnya, Kementerian melalui Finas mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.

Saifuddin turut menjelaskan tafsiran filem turut merangkumi perkara Seksyen 2, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (pindaan 2013) yang menyatakan filem termasuk filem cerita pendek, subjek ringkas, 'trailer', dokumentari, filem kecil iklan dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan termasuk pita video dan ceper video berupa arca bergerak, sama ada disertai dengan bunyi atau tidak untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan ramai.