Kursus bahasa kepada Yang Berhormat

A
A
A

APABILA kerajaan Pakatan Harapan membenarkan persidangan Parlimen disiarkan secara langsung oleh TV1, apa-apa sahaja yang dibicarakan oleh wakil-wakil rakyat di Dewan Rakyat boleh diikuti oleh sesiapa sahaja yang berkesempatan menonton siaran langsung tersebut.

Hal ini merupakan satu peluang keemasan kepada rakyat untuk menilai kepetahan ahli-ahli parlimen berbicara dengan menggunakan medium bahasa Melayu, yakni bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita.

Selesai sahaja persidangan Parlimen, timbul cakap-cakap bahawa ada beberapa orang wakil rakyat tidak fasih berbahasa Melayu, maka dicadangkan mereka diberikan kursus bahasa Melayu. Penulis adalah antara penonton setia siaran langsung bermula dari mula siaran sesi siang, pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Penulis memang amat berminat mendengar sesi soal jawab antara pihak menteri dan timbalan menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri dengan ahli-ahli Parlimen. Dalam masa yang sama, penulis akan meneliti idea, fakta dan hujah yang dilontarkan sambil penulis juga akan menilai dari segi penggunaan bahasa oleh setiap ahli Parlimen.

Adalah salah sekiranya penilaian berbahasa Melayu difokuskan pada kefasihan menyebut perkataan sahaja, justeru wakil rakyat bukan Melayu selalunya difokuskan. Walhal, banyak aspek bahasa lagi perlu dinilai untuk meletakkan seseorang itu cekap dan pandai berbahasa.

Jadi, apabila Menteri Pendidikan mencadangkan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil inisiatif mengadakan kursus bahasa kepada ahli Parlimen, persoalannya ialah aspek bahasa yang manakah yang patut dikursuskan dan siapakah ahli Parlimen yang bakal menjadi pesertanya?

Dalam konteks pengucapan bahasa, terdapat dua aspek yang perlu diberikan keutamaan. Aspek yang pertama ialah sebutan dan aspek kedua ialah kelancaran pertuturan. Dalam aspek sebutan, setiap perkataan bahasa Melayu mestilah betul penyebutannya yakni mengikut prinsip “Sebut seperti dieja, dan eja seperti disebut”.

Dalam aspek kelancaran, tiada bunyi-bunyi tambahan dituturkan seperti bunyi-bunyi ‘a’, ‘e’, ‘em’, ‘apa ni”, ‘apa nama’ dan sebagainya. Penyebutan unsur bunyi tambahan ini dan kegagapan semasa bercakap, jika ada dan jika banyak kali pula dituturkan, penutur dianggap tidak cekap berbahasa. Dalam percakapan bahasa Melayu juga ada unsur bahasa seperti diksi (pemilihan kata), nada, intonasi, dan jeda.

Artikel Berkaitan:

Semasa perbahasan di Dewan Parlimen, terdapat banyak kesalahan penggunaan bahasa. Kesalahan umum yang biasa dilakukan ialah kesalahan penggunaan perkataan. Antara perkataan yang sering disalah guna termasuklah perkataan “bila” sepatutnya “apabila”, imbuhan “di” sepatutnya “pada” atau “dalam”, “ialah” sepatutnya “adalah”, “bagai” sepatutnya “berbagai-bagai” atau “pelbagai”, “siapa” sepatutnya “siapa-siapa”, “para” bukan “para-para”, “semata-mata” bukan “semata”, “justeru” bukan “justeru itu” dan banyak lagi kesalahan penggunaan kata yang dapat kita kesan sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.

Seperkara lagi, sewaktu berbicara, kesantunan berbahasa perlu dijaga. Bahasa yang kita tuturkan menggambarkan adab dan akhlak kita. Apabila berhujah janganlah sampai kita mengeluarkan perkataan yang kasar dan kesat. Kita harus menggunakan kata-kata yang halus budi bahasanya. Kita boleh bernada tegas tetapi bukan bermakna kita perlu meninggikan suara hingga ke tahap menjerit.

Kita patut mengucapkan terima kasih kepada Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) kerana mengadakan siaran langsung walaupun masanya hanya dua jam sehari. Dengan adanya inisiatif ini, baharulah kita sedar akan kelemahan beberapa wakil rakyat kita ketika berbahasa Melayu.

Berkaitan dengan kursus yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, persoalannya, mampukah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan kursus bagi mengatasi masalah penyebutan perkataan dan kesalahan penggunaan kata dalam kalangan wakil rakyat sekiranya tempoh kursus sehari dua sahaja.

Selain penceramah DBP sendiri, DBP wajar memanfaatkan khidmat bakti Munsyi Dewan sebagai penceramah dalam kursus yang bakal diadakan pada tahun ini. Walau apa-apa pun isu dan masalahnya, kita kena ingat bahawa bahasa jiwa bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka