RUU355 perlu rundingan sebelum dibentang di Parlimen

Mohd Syahir
Mohd Syahir
A
A
A

SHAH ALAM - Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman menyatakan bahawa cadangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU355) difahamkan sudah sedia untuk 'dipersembahkan'.

Namun Mohd Syahir berkata, sebelum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat adalah wajar dan tertib sekiranya pindaan itu dirundingkan dengan 'stakeholders' terpenting membabitkan negeri, mufti serta Raja-Raja.

Menurutnya, difahamkan RUU355 telah melalui pelbagai proses kajian dan konsultasi melibatkan para ulama, pengamal undang-undang, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Di samping peranan terpenting Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi kerajaan Persekutuan.

"Difahamkan juga persidangan Parlimen kali ini amat terbatas bagi memberi laluan kepada perbahasan Titah Diraja selain pembentangan rang undang-undang (RUU) berkaitan kesihatan, keselamatan dan ekonomi yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Maka jangan berasa hairan sekiranya ada suara yang mahu RUU355 disegerakan, sedangkan inilah suara yang dahulu mahu ia dihentikan," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Malah menurut Mohd Syahir, ketika suara itu memegang kuasa sepanjang 22 bulan lalu, urusan kerajaan berkaitan pindang undang-undang tersebut 'disejuk-bekukan' dengan seribu satu alasan yang dicipta.

Justeru katanya, terpenting adalah sumbangan bakti 'menebang hutan, menebas belukar, menghalau binatang, memasang pagar' bagi membina tapak yang kukuh bagi menegakkan hukum agama di bumi Malaysia yang tercinta.

Artikel Berkaitan:

"Selebihnya terserah kepada kebijaksanaan penguasa dalam mendepani situasi 'dharurah' semasa," katanya.