Bicara kes rasuah Ku Nan disambung semula 23 November ini

Tengku Adnan menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta.
Tengku Adnan menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah RM1 juta akan bersambung semula di hadapan hakim asal pada 23 November ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Persekutuan pada 17 Julai lalu membenarkan kes itu dibicarakan di hadapan hakim berkenaan (Mohd Nazlan) dan memohon tarikh perbicaraan baharu.

"Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung pada 23 dan 24 November ini manakala Disember pada 1,2,3,7,8,9,10,14,15,16,” katanya pada sebutan kes itu hari ini.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, tidak membantah tarikh tersebut.

Sebelum itu, di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan kes Tengku Adnan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 di hadapan Hakim Mohd Nazlan untuk menyambung perbicaraan.

Ini berikutan Lailawati memaklumkan Hakim Muhammad Jamil bahawa Mahkamah Persekutuan telah mengubah keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan semula kes itu untuk dibicarakan di hadapan hakim asal (Hakim Mohd Nazlan).

Pada 17 Julai lepas, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dalam keputusannya memutuskan Mahkamah Rayuan telah melakukan kekhilafan dari sudut undang-undang dan menerapkan undang-undang secara salah pada fakta kes itu yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, Mahkamah Rayuan memutuskan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain dan hakim baharu akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan kes itu atau meneruskan perbicaraan daripada Hakim Mohd Nazlan.

Artikel Berkaitan:

Kes itu kemudiannya dipindah ke hadapan Hakim Muhammad Jamil.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan telah bermula pada 20 September tahun lepas dengan dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 September 2019 yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik balik daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu membuat permohonan itu atas alasan Hakim Mohd Nazlan telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Eng Boon) dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai 'Ku Nan' mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akauan CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di sini diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama