‘Tidak perlu dipolitikkan’

Shahruddin (duduk, tengah) bersama mahasiswa Permaj UKM yang menyertai Jelajah Operasi Khidmat Masyarakat di Kampung Baru.
A
A

PELANTIKAN Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sebagai Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam semasa Konvensyen Bersatu Johor pada tahun lalu tidak seharusnya dijadikan isu terutamanya oleh pembangkang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, beliau yakin Osman akan dapat memberikan tumpuan yang besar terhadap pembangunan di Ayer Hitam dan kawasan sekitarnya khususnya di Batu Pahat.

“Penduduk di Ayer Hitam sepatutnya bersyukur dan sambut pelantikan ini dengan hati terbuka kerana kita (Bersatu) lantik Osman yang merupakan individu penting di Johor untuk menerajui Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

“Kalau beliau (Osman) hendak menjadi ketua bahagian di Sri Gading sekalipun saya alu-alukan kerana kita tahu komitmen dan keyakinannya untuk memajukan negeri ini lagipun beliau juga Pengerusi Bersatu Johor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Operasi Khidmat Masyarakat Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) di Kampung Baru Sri Gading, di sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Roslee Rajikan dan Penasihat Permaj UKM, Prof Madya Dr Norinsan Kamil.

Menurutnya, beliau juga menafikan dakwaan Setiausaha Umno Johor yang juga Adun Semarang, Datuk Samsolbari Jamil bahawa pelantikan Osman sebagai Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam ini disebabkan beliau ditolak daripada menerajui Bersatu Bahagian Pulai.

“Di sana (Pulai) sudah ada ketua bahagiannya sendiri dan lagipun di Ayer Hitam sebelum ini masih belum ada ketua bahagian dan saya rasa tidak salah keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu ini kerana apa yang dilakukan adalah sebagai usaha memperkasakan parti.

“Jadi, tidak perlulah dipolitikkan isu ini kerana macam saya sendiri, saya merupakan Ketua Bersatu Bahagian Muar dan pada PRU14 saya bertanding di Parlimen Sri Gading dan diterima baik oleh penduduk di sini kerana apa yang penting kita mampu perubahan yang baik di kawasan kita,” katanya.

Kelmarin, Samsolbari meminta rakyat di bahagian Ayer Hitam menilai pelantikan Osman kerana selaku pemimpin tertinggi kerajaan negeri, adalah janggal Osman tidak dipilih di kawasan yang diwakilinya iaitu di Pulai.

Menurutnya lagi, beliau percaya Osman mungkin menganggap Ayer Hitam sebagai kawasan mudah kerana tidak mempunyai pemimpin pembangkang lebih baik dan berkaliber.Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya mengumumkan pelantikan Osman sebagai Pengerusi Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.