APMM tahan bot nelayan tempatan gaji warga asing

APMM Selangor menahan lima individu termasuk dua PATI warga Myanmar dalam Op Benteng di Pulau Selat Kering, Selangor, semalam.
APMM Selangor menahan lima individu termasuk dua PATI warga Myanmar dalam Op Benteng di Pulau Selat Kering, Selangor, semalam.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Sebuah bot nelayan tempatan kelas B yang beroperasi dengan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jarak kira-kira 3.2 batu nautika barat Pulau Selat Kering, Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, nelayan yang sedang leka menangkap hasil laut itu ditahan menerusi Op Benteng kira-kira jam 10 pagi oleh sepasukan anggota APMM Selangor.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lima kru lelaki termasuk tekong berada di atas bot berkenaan.

Sebuah bot nelayan kelas B yang ditahan APMM Selangor dalam Op Benteng, di Pulau Selat Kering, Selangor, semalam.
Sebuah bot nelayan kelas B yang ditahan APMM Selangor dalam Op Benteng, di Pulau Selat Kering, Selangor, semalam.

"Semakan dokumen juga mendapati tiga daripadanya adalah warga tempatan dan dua lagi warga Myanmar yang didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menunda di luar kawasan dibenarkan. Dua kru warga Myanmar akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas kira-kira 200 kilogram pelbagai jenis ikan.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya mengalu-alukan kerjasama komuniti untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI.

Orang awam dan komuniti maritim perlu bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan boleh menyalurkan maklumat melalui talian 03-31760627.