Masalah rokok seludup membimbangkan di Malaysia timur

Rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak lulus kastam dianggarkan bernilai RM6.3 juta dirampas JKDM Bintulu untuk siasatan.
Rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak lulus kastam dianggarkan bernilai RM6.3 juta dirampas JKDM Bintulu untuk siasatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) hari ini mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 rokok yang dijual di Sabah dan Sarawak adalah rokok seludup.

Malah, berdasarkan kajian senario, rokok seludup paling teruk berlaku di Malaysia timur apabila pasaran rokok seludup dijuarai Sarawak yang mencatatkan penembusan 83.5 peratus diikuti Sabah 81.3 peratus.

Presiden dan Pengasas Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA), Joseph Anak Janting berkata, jumlah yang tinggi itu membuktikan bahawa isu penyeludupan rokok di dua buah negeri itu adalah sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius.

"Ia bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah sosio-ekonomi tetapi juga membahayakan remaja, yang mudah terpengaruh kepada elemen negatif yang diwujudkan oleh pasaran gelap,’’ kata beliau dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, agensi-agensi penguatkuasa telah bekerja keras untuk menangani isu dagangan rokok haram ini khususnya kejayaan Jabatan Kastam Diraja di Sarawak merampas 70,960,000 batang rokok seludup bernilai RM6.3 juta di Pelabuhan Bintulu baru-baru ini.

Modus operandi kegiatan penyeluduhan itu ialah rokok-rokok yang belum lulus kastam diangkut mengunakan kapal komersial bagi tujuan dihantar ke destinasi tertentu melalui Pelabuhan Bintulu.

Bagi mengelakkan aktiviti dikesan, dagangan diikrar dalam manifest masuk sebagai 'general cargo' dan syarikat pengimport adalah syarikat agen perkapalan berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Di Sabah dan Sarawak sahaja, sembilan daripada 10 rokok yang dijual adalah rokok seludup.
Di Sabah dan Sarawak sahaja, sembilan daripada 10 rokok yang dijual adalah rokok seludup.

Sementara itu, kata Joseph, terdapat 12.2 bilion batang rokok seludup yang dianggarkan dijual dan diguna di Malaysia pada tahun 2019 sahaja.

"Jumlah yang begitu besar membuktikan masalah ini tidak boleh dipandang ringan dan pasti menyesakkan mana-mana agensi keselamatan untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata, sebagai tambahan kepada penyediaan dana-dana penting bagi mengambil lebih banyak tenaga penguatkuasaan dan teknologi paling canggih bagi membantu mereka, kerajaan boleh juga menimbangkan untuk menangani punca sebenar permasalahan ini iaitu jurang besar harga antara rokok sah dengan rokok seludup.

“Pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak sangat ketinggalan berbanding purata kebangsaan dan kebanyakan tidak ada pilihan selain beralih kepada produk pasaran gelap murah yang diseludup dari laut atau darat.

“Dasar-dasar bijaksana dan reformasi cukai boleh membantu mengurangkan penyeludup dan penjenayah pasaran gelap di seluruh negara, menurunkan paras ancaman kepada barisan depan penguatkuasaan kita apabila mereka bertugas,’’ ujar Joseph.

Joseph berkata, mereka yang diberi tugas melindungi sempadan negara, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, kerap berdepan dengan cubaan organisasi jenayah untuk menyeludup manusia dan produk haram ke dalam negara ini.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan memberi tumpuan khusus dalam menyediakan kelengkapan untuk petugas barisan hadapan dan anggota penguatkuasa dengan sumber-sumber dan dasar-dasar yang boleh membantu mereka berkhidmat dengan lebih baik sambil menjaga keselamatan diri mereka sendiri.

Katanya, pengorbanan yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan dan anggota penguatkuasa dalam menangani jenayah di sempadan boleh dianggap sebagai hero kerana jasa dan pengorbanan mereka tidak ternilai harganya.

"Kita sangat menghargai mereka yang bekerja keras dan berdedikasi ketika berdepan dengan krisis kesihatan global yang tidak pernah dialami sebelum ini, demi menjaga keselamatan nyawa kita dan melindungi kepentingan negara sehingga sanggup menggadai nyawa sendiri.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita boleh melaksanakan peranan kita dengan memberi penghormatan kepada hero zaman moden ini dengan menyokong kerajaan di dalam usaha menyediakan mereka dengan sumber-sumber yang perlu, ketika menguatkuasakan undang-undang dan dasar-dasar yang boleh membantu mereka melakukan kerja dengan lebih baik dan selamat,’’ katanya.

TRADA adalah sebuah kumpulan advokasi belia dan komuniti untuk menyemai pengetahuan dan teknologi secara menyeluruh bagi memastikan masa hadapan yang lebih cerah dan lebih inklusif. Kenyataan akhbar ini adalah sempena Sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai ini.