AS bebaskan wartawan wanita Iran

Marzieh Hashemi
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah membebaskan wartawan wanita Iran, Marzieh Hashemi selepas 10 hari ditahan secara haram, kata keluarganya.

Hashemi, 58, yang telah menetap di Iran selama bertahun-tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa St. Louis Lambert di Missouri pada 13 Januari lalu.

Beliau memasuki AS untuk melawat abangnya dan ahli keluarga yang lain.

Sejurus ditahan, Hashemi kelahiran AS dipindahkan ke kemudahan tahanan di Washington, di mana beliau mendakwa pegawai di kemudahan itu memaksanya membuka tudung selain diberikan makanan tidak halal.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) enggan memberi komen mengenai penahanannya, tetapi kerajaan AS mengesahkan bahawa beliau telah ditangkap sebagai "saksi material".

"Marzieh Hashemi telah dibebaskan tanpa dikenakan sebarang pendakwaan dan kini berada disamping ahli keluarga yang lain di Washington.

"Penahanannya jelas merupakan diskriminasi terhadap umat Islam.

"Beliau akan mengadakan protes pada Jumaat bagi menuntut jawapan dan alasan disebalik penahanannya," menurut kenyataan dikeluarkan keluarganya hari ini. - Agensi