Kerajaan Selangor cari penyelesaian isu banjir kilat

Sze Han (tiga dari kanan) ketika turun padang bagi meninjau projek mitigasi yang dilaksanakan di kawasan berkenaan. - Foto ihsan Facebook Ng Sze Han
Sze Han (tiga dari kanan) ketika turun padang bagi meninjau projek mitigasi yang dilaksanakan di kawasan berkenaan. - Foto ihsan Facebook Ng Sze Han
A
A
A

PUCHONG - Kerajaan Selangor akan mencari penyelesaian sementara bagi mengatasi isu banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Damansara-Puchong berhampiran IOI Mall.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan agensi berkaitan bagi membincangkan langkah dalam menambah baik dan menyelesaikan permasalahan banjir kilat itu.

Beliau berkata, selain lokasi terlibat, beberapa kawasan di sekitar Puchong turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melanda baru-baru ini.

"Kami turut menerima laporan bahawa selain lokasi ini, terdapat beberapa kawasan lain turut berdepan masalah banjir kilat antaranya, Taman Kinrara 1 (TK1), TK2, TK5, Taman Puchong/Pak Siong, dan Taman Bunga Melor," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir kilat di Kilometer 23.2 berhadapan IOI Mall di Lebuhraya LDP dari Puchong Jaya menghala ke arah Bandar Puteri.

Jurucakap konsesi lebuh raya, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) memaklumkan, taburan hujan luar biasa melebihi 77.5 milimeter (mm) dipercayai menjadi punca kejadian banjir kilat itu.

Mengulas lanjut mengenai permasalahan itu, Sze Han berkata, projek mitigasi banjir bernilai RM4 juta telah mula dilaksanakan di kawasan itu sejak akhir tahun lalu dan dijangka siap pada Februari tahun hadapan.

"Projek ini dijangka sedikit lewat susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, melalui pelaksanaan projek mitigasi ini, air hujan dari Puchong Jaya akan disalurkan ke dalam kolam takungan air baharu dan kemudian dibawa ke kolam lombong di belakang IOI Mall.