Jet pejuang didakwa milik Israel nyaris berlanggar pesawat komersial Iran

Sebuah jet pejuang terbang dekat sebuah pesawat penumpang Iran di ruang udara Syria pada Khamis lalu. - Foto Stesen Televisyen IRIB
Sebuah jet pejuang terbang dekat sebuah pesawat penumpang Iran di ruang udara Syria pada Khamis lalu. - Foto Stesen Televisyen IRIB
A
A
A

TEHRAN - Sebuah televisyen Iran berkata, jet-jet pejuang Israel memintas sebuah pesawat penumpang negara itu ketika ia melintasi ruang udara Syria untuk menuju ke Beirut pada Khamis lalu.

Gambar penumpang menjerit ketika kapal terbang itu mengubah haluan akibat dipintas jet-jet rejim Zionis disiarkan oleh stesen televisyen IRIB.

Satu lagi video dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan dua buah jet berada di sebelah pesawat penumpang itu.

"Ketika pesawat itu berada di ruang udara Syria, jet-jet rejim Zionis mendekati pesawat Mahan Airlines.

"Selepas tindakan yang berbahaya jet-jet pejuang Israel itu, juruterbang kapal terbang komersial tersebut merendahkan altitud penerbangan bagi mengelakkan daripada perlanggaran," tambah kenyataan daripada stesen televisyen tersebut.

Laporan itu tidak memetik sebarang sumber yang dinamakan dan berkata, jet-jet tersebut mungkin milik Israel atau Amerika Syarikat (AS).

Ia menyatakan insiden tersebut sebagai berbahaya dan provokatif.

Televisyen-televisyen Syria dan agensi berita rasmi SANA yang memetik sumber-sumber pihak berkuasa penerbangan sebagai berkata, jet-jet itu dipercayai milik pasukan tentera perikatan diketuai AS memintas sebuah kapal terbang awam Iran di ruang udara Tanaf.

Artikel Berkaitan:

Ia menyebabkan juruterbang pesawat penumpang itu terpaksa merendahkan tahap penerbangan dengan mendadak sekali gus menyebabkan sejumlah penumpang cedera.

Israel telah melancarkan ratusan serangan di Syria sejak permulaan Perang Saudara pada tahun 2011.

Konflik di negara itu telah menyebabkan 380,000 orang terbunuh dan lebih separuh penduduk hilang tempat tinggal. - AFP