Naik taraf hubungan dialog Asean-EU wajar ditangguhkan

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menyuarakan pandangan bahawa penaiktarafan hubungan dialog Asean-EU ke peringkat Kerjasama Strategik wajar ditangguhkan pada satu tarikh akan datang.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah telah menegaskan pendirian Malaysia berhubung langkah-langkah yang diambil oleh EU yang menggugat industri minyak sawit di negara-negara pengeluar minyak sawit di rantau Asean.

"Menteri Luar menyatakan harapan Malaysia bahawa Asean dan EU terus berusaha mengukuhkan hubungan antara kedua-dua organisasi berasaskan kerjasama erat yang sedia ada, sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Asean-EU (2018-2022).

"Menteri-menteri Luar Asean dan EU bersetuju secara dasar untuk menaiktaraf hubungan dialog Asean-EU ke peringkat kerjasama strategik. Bagaimanapun, butiran dan masa akan ditentukan kelak berikutan isu yang dibangkitkan Indonesia dan Malaysia, " menurut kenyataan itu.

Menteri-menteri Luar Asean dan EU juga mengalu-alukan penubuhan kumpulan kerja bersama antara EU dan Negara-Negara Anggota Asean yang berkaitan untuk meneliti isu-isu berhubung minyak sawit, tambah kenyataan itu.

Sementara itu, dalam bidang anti-keganasan, Menteri Luar telah menggariskan peranan yang dimainkan oleh Malaysia melalui program pembinaan keupayaan di bawah Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT).

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-22 di Brussels, Belgium pada 21 Jan lepas turut membincangkan bidang-bidang keutamaan kerjasama Asean-EU, merangkumi aspek politik-keselamatan, pelaburan, perdagangan, kesalinghubungan, dan pembangunan mampan serta isu-isu utama serantau dan antarabangsa. - Bernama