Tiga tan metrik beras disita

Sebuah lori yang mencurigakan diperiksa dalam operasi semalam.
Sebuah lori yang mencurigakan diperiksa dalam operasi semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak tiga tan metrik beras bernilai RM22,000 dipercayai bekalan daripada sumber yang diragui disita penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam operasi di dua lokasi berasingan semalam.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood berkata, operasi dijalankan berdasarkan risikan oleh pihaknya di dua buah premis di Kuala Lumpur dan Klang.

“Bagi operasi pertama, risikan dijalankan di sebuah premis di Kuala Lumpur. Pemeriksaan dijalankan berjaya menyita beras sebanyak 925 kilogram (kg).

“Susulan itu, operasi kemudiannya diteruskan di Klang dan berjaya menyita sebanyak 950kg beras yang disyaki daripada sumber tidak sah bersama-sama dokumen berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Antara beras yang dirampas dalam operasi yang dijalankan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semalam.
Antara beras yang dirampas dalam operasi yang dijalankan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan sebuah lori yang mencurigakan semasa pemeriksaan di premis di Klang sebelum hasil pemeriksaan pada lori berkenaan menemui 900kg muatan beras.

“Lori itu turut disita untuk siasatan lanjut selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 522 kerana tiada dokumen bersabit beras berkenaan,” katanya.

Katanya, pemborong diingatkan tidak mendapat bekalan beras daripada sumber tidak sah kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta 522.

Artikel Berkaitan:

“Beras boleh diperoleh dari Bernas sebagai pengimport tunggal negara,” katanya.