Proton, tolong jangan lelong kereta bersejarah!

Kereta rali di bawah Petronas EON Racing Team. - Foto Paultan.org (Bawah: Jentera Lotus Europa S berwarna kuning.) (Faidzil Alang)
Kereta rali di bawah Petronas EON Racing Team. - Foto Paultan.org (Bawah: Jentera Lotus Europa S berwarna kuning.) (Faidzil Alang)
A
A
A

PARA peminat automotif negara menggesa syarikat Proton Holdings Bhd menyelamatkan jentera-jentera warisannya yang mempunyai nilai eksklusif dan sejarah berharga daripada dilelong kepada orang awam.

Pelumba kereta profesional, Faidzil Alang yang berpengalaman luas dalam dunia perlumbaan dan permotoran selama lebih 25 tahun berpendapat, kereta-kereta yang pernah melalui detik perlumbaan sebenar tidak sepatutnya dilelong.

“Sebagai peminat permotoran, kita tidak mahu melihat kereta yang pernah mencipta sejarah buat negara dilelong kerana ia mempunyai nilai kenangan yang sangat tinggi,” katanya yang pernah menyandang gelaran Pemandu Sirkit Terbaik Malaysia 2003 kepada Sinar Harian di sini semalam.

Namun, menurut Faidzil yang pernah menyertai Proton Motorsports pada tahun 2003 dan berpengalaman berlumba menggunakan pelbagai model kereta Proton daripada Proton Saga lama sehinggalah model Lotus, jika dilihat dari sudut perniagaan berkemungkinan Proton tidak mampu untuk melunaskan kos-kos seperti penyelenggaraan kereta-kereta itu.

Menurutnya, sekiranya Proton tidak mampu, mungkin keputusan terbaik adalah untuk melepaskan kereta-kereta tersebut kepada peminat kereta yang boleh menjadikannya sebagai koleksi.

“Selama 22 tahun bersama Proton, untuk setiap aset yang terdapat di situ, setiap jabatan harus mengambil tanggungjawab menjaga kereta-kereta tersebut.

“Namun, mungkin kini tiada jabatan yang sanggup mengambil tanggungjawab tersebut,” kata pelumba berusia 49 tahun itu yang kini menjalankan syarikat berkaitan permotoran.

Sementara itu, editor portal Paultan edisi bahasa Melayu, Hazril Hafiz berpandangan, tidak seharusnya jentera-jentera lumba bersejarah Proton dilelong kerana syarikat itu mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran dan rali peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Jika Centre of Excellence Proton di Shah Alam boleh mempunyai ruang pameran untuk model-model lama keluaran Proton, seharusnya perlu ada juga ruang pameran bagi jentera lumba dan model konsep yang rare ini agar lebih terpelihara.

“Pemotoran memang sebahagian daripada sejarah Proton, jadi Geely (pemilik Proton sekarang) perlu sedar dan ambil berat,” katanya.

Terdahulu, syarikat lelongan kenderaan, Pickles Asia Auctions menerusi laman Facebooknya telah mempromosi lelongan kereta-kereta bersejarah Proton pada 17 Julai lalu, namun beberapa hari kemudian memaklumkan Proton telah menarik balik tujuh jentera lumba daripada lelongan yang dijadual berlangsung semalam.

Sinar Harian difahamkan terdapat banyak jentera lama Proton lain yang ditempatkan di gudang Pickles Asia Auction di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya untuk tujuan lelongan.

Dalam pada itu, sehingga petang semalam, Proton masih belum membuat sebarang kenyataan selepas Sinar Harian meminta syarikat itu membuat ulasan mengenai isu tersebut.