Tinggal dalam rumah hampir roboh, dipenuhi sampah

Ruang ini adalah dapur bagi Rokiah untuk memasak lauk menggunakan dapur arang setiap hari.
Ruang ini adalah dapur bagi Rokiah untuk memasak lauk menggunakan dapur arang setiap hari.
A
A
A

KOTA BHARU - Mengalami kemurungan atau meroyan selepas melahirkan anak pertama pada 24 tahun lalu menyebabkan kehidupan dilalui ibu tunggal dua anak dari Kampung Pulau Pisang di sini tidak lagi terurus.

Lebih menyedihkan apabila rumah pusaka yang didiami bersama anak lelaki keduanya kini menunggu masa menyembah bumi.

Nasib Rokiah Ab Kadir, 60, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila suaminya pula meninggal dunia akibat kemalangan dihempap batu di sebuah tempat pembinaan ketika mencari besi buruk untuk dijual pada tahun 2000.

Rokiah berkata, dia melahirkan anak perempuan pertama secara pembedahan pada 1994 dan kemudian anak lelaki kedua setahun selepas itu.

Dua anak saudara Rokiah, Che Jah (tengah) dan Rashidah (kanan) yang sentiasa menziarahi serta membantu membersihkan rumah ibu saudaranya itu tetapi akan tetap kembali bersepah.
Dua anak saudara Rokiah, Che Jah (tengah) dan Rashidah (kanan) yang sentiasa menziarahi serta membantu membersihkan rumah ibu saudaranya itu tetapi akan tetap kembali bersepah.

“Suami saya sudah meninggal dunia manakala anak sulung saya dijaga oleh ibu saudarannya di Gua Musang. Kedua-dua anak saya hanya bersekolah sehingga Darjah Enam kerana mereka orang kurang upaya (OKU) lembam.

“Anak lelaki tinggal bersama saya di rumah yang hampir roboh ini. Kalau hujan pun kena tempias sebab bocor dan basah sampai ke dalam rumah. Saya berharap sangat dapat rumah baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Katanya, rumah tersebut juga tidak mempunyai ruang dapur dan dia hanya memasak dengan menggunakan arang selain sudah dua kali cedera akibat terjerlus kerana papan yang reput pada lantai rumah.

Artikel Berkaitan:

“Saya masak nasi, makan lauk budu, kadang-kadang masak sardin sampai hangit tapi makan juga. Anak saudara dan jiran-jiran pun ada bagi makanan,” katanya.

Sementara itu, anak saudaranya, Che Jah Che Hussin, 55, berkata, kehidupan Rokiah tidak terurus dengan tinggal dalam keadaan rumah bersepah bercampur sampah-sarap manakala rumah pula sudah terlalu uzur untuk didiami.

Keadaan tempat tinggal dua beranak ini di Kampung Pulau Pisang sudah perlu diganti baharu namun keluarga ini tidak berkemampuan untuk melakukannya.
Keadaan tempat tinggal dua beranak ini di Kampung Pulau Pisang sudah perlu diganti baharu namun keluarga ini tidak berkemampuan untuk melakukannya.

“Dulu sebelum terkena meroyan, dia boleh bercakap dengan baik. Sekarang kena dengar betul-betul, kadang-kala tidak faham langsung apa-apa dia cakap dan kadang-kala dia marah.

“Mereka sekeluarga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 setiap seorang. Cuma sekarang rumah mereka terlalu uzur dan boleh runtuh bila-bila masa saja. Mereka perlukan bantuan untuk baik pulih rumah atau diganti baharu,” katanya.

Bantuan kepada keluarga ini boleh disalurkan ke akaun Rokiah Ab Kadir di Bank Simpanan Nasional bernombor 03010-41-0000432940 atau hubungi 019-241 7419.