Gagal patuhi SOP, penganjur karnival dikompaun

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Penganjur Karnival Mahabbah @ Aidiladha di Bertam di sini dikompaun semalam selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan yang dilakukan pada jam 10.30 malam itu mendapati pihak penganjur gagal menyediakan laluan khas keluar masuk, selain tidak mengambil butiran dan pemeriksaan suhu pengunjung.

Menurutnya, pemantauan yang dilakukan oleh pasukan Task Force Pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan mendapati orang ramai di tapak karnival berkenaan juga tidak melakukan penjarakan sosial.

"Hasil pemantauan yang dilakukan juga mendapati pihak penganjur gagal untuk mengawal jumlah pengunjung yang ramai.

"Penganjur berusia 48 tahun itu dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP dalam penganjuran karnival tersebut dan tindakan diambil mengikut Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No 7) 2020," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menarik semula lesen penganjuran kerana kegagalan mematuhi SOP dalam tempoh PKPP.

Artikel Berkaitan: