Chelsea tak mahu tiru Liverpool

Frank Lampard - Foto Getty Images
Frank Lampard - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard tidak berhajat untuk meniru corak permainan Liverpool untuk menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Menurut Lampard, skuad The Blues harus mempunyai identiti tersendiri untuk mencipta kejayaan sebagaimana yang telah dilakukan Liverpool sehingga berjaya muncul juara EPL musim ini.

"Mereka (Liverpool) telah bekerja dengan baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini selain kekal konsisten. Saya tahu bagaimana sukar perkara itu untuk dicapai terutamanya membabitkan musim yang panjang dalam saingan liga.

"Mereka mempunyai kepantasan, kekuatan dan kualiti individu di semua posisi. Sangat menakjubkan untuk melihat pasukan dengan pengurus yang mempunyai karakter dan sifat agresif.

"Namun, bukan cara kami untuk meniru mereka. Kami perlu bersedia dan mempunyai taktikal sendiri yang jauh lebih baik jika mahu menjadi pencabar utama kejuaraan liga," katanya.

Lampard diberi kepercayaan sebagai pengendali Chelsea sejak musim panas lalu dan bertanggungjawab memastikan The Blues kembali berada pada tahap terbaik dalam saingan domestik musim ini.

Bekas tonggak Chelsea itu meletakkan kepercayaan kepada produk akademi kelab itu seperti Mason Mount, Billy Gilmour dan Tammy Abraham yang dilihat mampu menghadirkan impak positif.

"Ia satu penambahbaikan dengan apa yang kami lakukan selama ini. Begitupun, saya harus mengakui tahap pasukan masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Liverpool.

Artikel Berkaitan:

"Namun, ia bukan masalah dan para pemain membuktikan keinginan mereka untuk berjuang dalam pasukan. Kami membuat langkah yang sangat baik, tetapi kami perlu memikirkan langkah seterusnya kerana kami mahu mahu jadi pencabar dalam saingan liga," jelasnya.