Perang tidak mustahil

A
A

SAAT ini, Laut China Selatan berfungsi sebagai tekak kepada Pasifik Barat dan Lautan Hindi – penghubung jalinan ekonomi berskala gergasi di mana laluan-laluan laut global bertaut di sana.

Lebih separuh daripada muatan tanah armada perdagangan tahunan melalui pusat yang sempit ini, dan ia membentuk satu pertiga daripada keseluruhan trafik maritim di seluruh dunia. Minyak yang diangkut menerusi Selat Melaka dari Lautan Hindi, dalam perjalanan ke Asia Timur melalui Laut China Selatan, adalah sebesar tiga kali ganda berbanding jumlah yang melalui Terusan Suez dan lima belas kali ganda jumlah yang transit di Terusan Panama.

Selain daripada kepentingan lokasi, Laut China Selatan turut memiliki simpanan minyak yang telah dibuktikan sebanyak tujuh bilion tong, serta anggaran 900 trilion kaki padu gas asli.

Namun ketegangan tidak pernah sepi di Laut China Selatan: Brunei menuntut kawasan terumbu di selatan Kepulauan Spratly, Malaysia menuntut tiga buah pulau, manakala Filipina menuntut lapan buah pulau di dalam Kepulauan Spratly berkenaan. Vietnam, Taiwan, dan China pula masing-masing menuntut kebanyakan kawasan daripada Laut China Selatan, di samping kesemua gugusan kepulauan Spratly dan Paracel.

Di sinilah hadirnya berita buruk untuk para pencinta keamanan: kesemua tuntutan yang saling bertindih ini sangat berkemungkinan untuk menjadi lebih meruncing bilamana penggunaan tenaga di negara-negara Asia yang sedang membangun dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2030 nanti – separuh daripada pertumbuhan terbabit adalah dari China.

Realitinya, China pada hari ini sahaja sudah benar-benar terdesak untuk mendapatkan tenaga yang baharu. Simpanan minyak yang dikawal Beijing kini hanya berjumlah 1.1 peratus daripada jumlah simpanan minyak dunia, sedangkan penggunaan minyaknya adalah berjumlah lebih daripada 10 peratus pengeluaran minyak dunia manakala penggunaan tenaganya adalah lebih daripada 20 peratus kesemua penggunaan tenaga di dunia. Bayangkan!

Maka tidak menghairankan sama sekali apabila China begitu agresif sekali membina struktur helipad dan ketenteraan yang konkrit di atas tujuh buah terumbu dan beting pasir di Laut China Selatan.

Sebagai contoh, di Terumbu Mischief (yang ditakluki begitu sahaja oleh China di depan mata tentera laut Filipina pada 1990-an), China telah membina sebuah bangunan setinggi tiga tingkat dilengkapi lima buah struktur konkrit, yang kesemuanya adalah bagi tujuan ketenteraan. Di Terumbu Johnson pula, China meletakkan sebuah struktur yang dipersenjatai dengan mesingan berkuasa tinggi.

Negara-negara Asia Tenggara juga enggan mengalah: Vietnam menduduki 21 buah pulau yang mana di atasnya terbina landasan kapal terbang, jeti, berek tentera, tempat menyimpan senjata, serta landasan meriam. Malaysia dan Filipina, sebagaimana yang telah dinyatakan, masing-masing memiliki lima dan sembilan kawasan, dikuasai oleh detasmen tentera laut masing-masing.

Posisi China terhadap Laut China Selatan pada abad 21 ini adalah menyerupai posisi Amerika terhadap Laut Caribbean pada abad 19 dan awal abad 20. Perang Sepanyol-Amerika 1898 menjadi saksi ketibaan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa dunia.

Dominasi ke atas Lembangan Caribbean Besar ini memberikan Amerika kawalan ke atas Hemisfera Barat yang kemudiannya membolehkan Washington menghalakan pula pengaruh mereka ke Hemisfera Timur. Senario yang sama adalah berkemungkinan besar berulang kepada China pada abad 21.

Tentera laut China yang merupakan pasukan tentera laut yang kedua terkuat di dunia terus melonjak dengan dramatik. Beijing tidak menggunakan strategi membeli atau membina kapal-kapal perang secara pukal, sebaliknya mereka membangunkan kapasiti nic dalam peperangan bawah permukaan dan teknologi peluru berpandu balistik (misil DF-21) yang direka bentuk bagi menembak sasaran yang bergerak di laut, seperti kapal induk pesawat udara Amerika.

Terbaharu, dilaporkan bahawa sebahagian senjata ‘hypersonic’ China sudah boleh diubahsuai bagi menenggelamkan kapal pengangkut Amerika. Sekiranya China memperluaskan armada kapal selamnya hingga mencecah 78 buah menjelang tahun 2020 sebagaimana yang dirancang, ia bakal menyamai armada bawah laut Tentera AS dari segi kuantiti.

Lalu apa persediaan kita di Malaysia dengan kesemua senario sebegini?

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.