Dua dalang seludup Rohingya diberkas

Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan gambar dalang yang diberkas pada sidang media hari ini.
Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan gambar dalang yang diberkas pada sidang media hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Dua dalang yang merupakan tekong darat (dallal) yang aktif dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menawarkan RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa bagi membuka laluan memasuki perairan Langkawi.

Bagaimanapun, cubaan merasuah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu gagal apabila mereka diberkas ketika sedang berusaha memujuk pegawai APMM berkenaan.

Pengarah APMM Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dua dalang terbabit aktif menguruskan kemasukan etnik Rohingya ke Pulau Langkawi, terbaharu pada 8 Jun lalu.

“Operasi khas bersepadu Op Benteng ini berjaya menahan dua lelaki warga Myanmar disyaki etnik Rohingya berusia 29 dan 35 tahun sekitar jam 3 pagi Selasa lalu.

"Mereka ditahan di sebuah restoran di kawasan Padang Matsirat ketika cuba memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa APMM bagi memberi laluan kemasukan migran melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

"Kedua-dua suspek akan disiasat bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Mohd Zawawi berkata, tangkapan kedua dibuat pada jam 4 pagi hari yang sama melibatkan 34 orang warga asing terdiri daripada warga Thailand dan Myanmar menerusi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Teriang.

Artikel Berkaitan:

“Rumah berkenaan disyaki dijadikan tempat transit bagi migran tersebut.

"Seramai 34 lagi warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Menurutnya, pihaknya bersama agensi penguatkuasa lain menerusi National Task Force (NTF) akan terus bekerjasama melakukan operasi bersepadu memburu saki-baki anggota sindiket terlibat, khususnya tekong darat yang bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI ke negara ini.

Katanya, sindiket berkenaan terdiri daripada warga asing, pemegang kad UNCHR dan rakyat tempatan dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit melalui aktiviti penyeludupan dan eksploitasi PATI ke negara ini untuk tenaga kerja warga asing secara haram.

Op Benteng yang dikoordinasi APMM Kedah/Perlis itu turut melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kedah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Langkawi, Jabatan Imigresen Kedah serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membanteras sindiket penyeludupan migran Myanmar.

Pada 8 Jun lalu, kapal Maritim (KM) Kimanis milik APMM berjaya memintas kemasukan bot membawa 269 dan satu mayat wanita Rohingya yang dikesan di perairan Pulau Langkawi, dan mendapati bot berkenaan sengaja dibocorkan serta mengalami kerosakan teruk.