Dimensi ekonomi dalam ibadah korban

A
A
A

Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut perayaan Aidiladha. Lantaran itu ibadah korban menjadi kesempatan untuk umat Islam di seluruh dunia menyertai dan menzahirkan pengorbanan, ketaatan dan kesyukuran kepada ALLAH SWT.

Pengajaran daripada ibadah itu sangat tinggi nilainya dan sangat dimuliakan ganjarannya. Ia adalah penzahiran bahawa sifat berkorban untuk agama dan membantu fakir miskin mempunyai elemen sosioekonomi yang tinggi. Di sinilah sifat saling berkongsi antara sesama insan dizahirkan.

Akan tetapi ada suatu dimensi yang terlepas pandang dalam ibadah korban iaitu dimensi mengangkat martabat ekonomi umat melalui korban. Mengurus ibadah korban sebagai wadah ekonomi ummah tidak difikirkan oleh kebanyakan pemikir ekonomi Islam.

Yang ditumpukan ialah NGO dan syarikat yang mengiklankan untuk menguruskan korban dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk dalam negara dan di luar negara. Padahal ibadah korban juga mempunyai ciri ekonomi sama seperti ibadah haji iaitu elemen menyimpan.

Mengumpul aset simpanan wang korban sebagai dana ekonomi ummah sepatutnya menjadi salah satu instrumen ekonomi jika konsep dan modus operandi diatur dengan sempurna. Menguruskan amalan korban secara efektif dan efisien akan dapat menghasilkan manfaat ekonomi yang lebih luas kerana simpanan yang dikumpul sehingga sampai waktu korban dapat dijadikan kumpulan dana yang boleh dilabur dalam kegiatan ekonomi pelbagai sektor.

Kegiatan ekonomi ummah dalam pelbagai bidang dapat dibangunkan sehingga impak kepada kualiti hidup golongan miskin dapat ditingkatkan, bukan hanya menjamah daging korban.

Adalah sangat rasional mempertimbangkan potensi memperluaskan simpanan korban sebagai aset tunai untuk pembangunan pelbagai sektor ekonomi yang lebih dinamik. Sementara itu, sebuah sistem pengurusan korban yang lebih baik dapat dibangunkan, ia juga memberi peluang kepada pengukuhan upaya ekonomi umat yang boleh dijayakan.

Konsep asas dalam ekonomi korban adalah simpanan, pelaksanaan, pelaburan dan pembangunan ekonomi hiliran. Oleh kerana itu, usaha yang lebih bersungguh perlu direncanakan untuk melihat secara terperinci semua aspek korban. Daripada soal mekanisme menentukan harga korban, pendaftaran dan simpanan deposit korban, sistem rekod dan penyata, pelaksanaan dan pensijilan korban, edaran daging, industri hiliran korban dan pembangunan serta pelaburan dana korban. Semua itu merupakan wang tunai tersimpan yang jika tidak dimanfaat akan hilang manfaat dalam membangunkan ekonomi umat.

Artikel Berkaitan:

Kini wujud beberapa isu yang perlu ditangani jika ibadah korban mahu dilihat sebagai instrumen ekonomi umat ialah soal bekalan ternakan yang masih lagi bukan dalam penguasaan pengusaha Muslim.

Bekalan bergantung kepada sumber dari Myanmar dan Thailand. Masih sangat sedikit bilangan pengusaha Muslim. Sayang sekali sejak dari merdeka sektor penternakan lembu dan kambing tidak berjaya dibangunkan di Malaysia. Padahal keperluan permintaan bekalan lembu di negara ini mencecah lebih daripada 1.2 juta ekor setahun sedangkan daya pengeluaran dalam negara hanya sekitar 200,000 ekor setahun.

Bermakna dalam soal sektor ternakan lembu dan kambing sahaja, ekonomi umat Islam tidak dapat dikuasai oleh pengusaha Muslim. Ternakan dari ladang pengusaha Muslim sangat kecil berbanding bukan Muslim yang menjadi pengusaha pengimport daging dari luar seperti dari India.

Isu korban yang juga tidak kurang penting ialah di negara ini tidak ada undang-undang korban berpusat. Penyembelihan dan pemprosesan sembelihan dilaksanakan di serata Malaysia sehingga tidak ada standard ditentukan.

Isu efisiensi ekonomi dalam pelaksanaan korban dilihat secara kritikal terutama dalam hal pembaziran produk korban. Akibat sistem sembelihan tidak berpusat akhirnya menghasilkan buangan korban yang sangat banyak. Sepatutnya konsep korban sifar buangan diamalkan.

Ibadah korban juga mempunyai ciri ekonomi sama seperti ibadah haji iaitu elemen menyimpan.”

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu