Kedai jual makanan tamat tarikh luput dikompaun

Wazir menunjukkan produk makanan yang tidak mempunyai label dan telah tamat tarikh luput dalam operasi di Kepala Batas hari ini.
Wazir menunjukkan produk makanan yang tidak mempunyai label dan telah tamat tarikh luput dalam operasi di Kepala Batas hari ini.
A
A
A

KEPALA BATAS - Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan kompaun berjumlah RM21,600 kepada pengusaha kedai runcit dalam Ops Runcit yang dijalankan hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM, Mohd Wazir Khalid berkata, operasi pemeriksaan yang dijalankan bermula jam 9.30 pagi itu melibatkan lima buah kedai runcit di sekitar Kepala Batas yang kebanyakan dipercayai diusahakan oleh warga asing.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti seperti menjual produk makanan yang telah tamat tarikh luput selain ada yang didapati menjual barangan tidak mempunyai label seperti ditetapkan.

Menurutnya, operasi yang turut disertai pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengesan kedai yang menyimpan stok barangan mereka di dalam tandas.

Wazir memeriksa tandas yang dijadikan stor menyimpan stok barangan.
Wazir memeriksa tandas yang dijadikan stor menyimpan stok barangan.

"Dalam operasi ini, kita merampas lebih 50 barangan dan produk makanan yang telah tamat tarikh luput dan tidak mempunyai label seperti yang disyaratkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 2017.

"Kesemua barang yang disita dianggarkan bernilai RM5,500 dan 12 kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.

Wazir berkata, pihaknya menasihatkan pengusaha premis agar tidak menggajikan pekerja warga asing atau pekerja di bawah umur.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun perbuatan itu bukan di bawah bidang kuasa pihaknya namun ia sedikit sebanyak mengganggu kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan oleh BKKM.