Tiada rombakan benteng pertahanan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan) berbincang sesuatu bersama Maloney (kiri) di Wisma FAM, baru-baru ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan) berbincang sesuatu bersama Maloney (kiri) di Wisma FAM, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

BARISAN pertahanan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara mesti bersiap sedia membentuk pertahanan yang lebih kukuh untuk berdepan antara pasukan memiliki jentera serangan terbaik Asia pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 pada Oktober.

Benteng pertahanan Malaysia yang tidak konsisten merupakan punca kelemahan pada dua kempen terakhir - Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 dan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020.

Ia menyebabkan pasukan bimbingan Brad Maloney dibolosi 10 gol dalam 11 perlawanan termasuk empat gol yang ‘disumbangkan’ kepada Kemboja dalam kemenangan tipis 5-4 semasa perlawanan pembukaan kempen kelayakan.

Walaupun kelemahan barisan pertahanan mungkin menjejaskan skuad negara yang akan berdepan bekas juara, Qatar yang menyumbatkan 10 gol dalam kempen kelayakan, Tajikistan (11) dan Yaman (6) dalam Kumpulan D Kejohanan AFC B-19, namun Maloney berpendapat tidak perlu lakukan rombakan di bahagian ‘pertahanan’.

“Saya fikir anda perlu kuat di semua posisi padang, tetapi sesetengah berpendapat pertahanan adalah benteng utama, sudah pasti kami mahu lebih kuat dan stabil di bahagian pertahanan,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini semalam.

“Kami mahu lebih yakin apabila mengawal bola serta mampu bertahan, jadi ia adalah pakej penuh yang kami cari,” kata jurulatih berusia 48 tahun, dari Australia itu.

Walaupun terdapat kelemahan di bahagian pertahanan, Malaysia muncul pasukan dengan gol terbanyak (29 gol) dalam kempen kelayakan pada November tahun lalu, selepas membelasah Brunei dan Kepulauan Mariana Utara masing-masing 11-0 dan 10-0, diikuti Jepun (19) dan Korea Selatan (18).

Bagaimanapun, pusingan akhir kejuaraan di Uzbekistan di jadual dari 14 hingga 31 Okt adalah satu lagi tahap persaingan yang sengit kerana pasukan yang mara ke separuh akhir, automatik mendapat tempat ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Jelas pasukan yang paling kuat, Qatar contohnya mempunyai Akademi Aspire dan hal-hal seperti itu, mempunyai pembangunan sukan bagi golongan muda yang sangat baik, anda tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan ini, sangat kompetitif, Tajikistan dan Yaman mempunyai pemain dengan fizikal yang baik jadi kita mesti berada di tahap itu untuk bersaing dengan mereka,” kata Maloney.

Sementara itu, Maloney mengesahkan tidak ada perlawanan persahabatan bagi pasukannya sebelum kem latihan berpusat berakhir pada Sabtu.

“Selepas berbincang dengan staf jurulatih, diputuskan kami mungkin belum cukup bersedia untuk perlawanan penuh, jadi kami akan gunakan masa ini untuk teruskan latihan sesama kami, mungkin selepas ini kami akan adakan perlawanan persahabatan,” katanya. - Bernama